LIMA sekeluarga ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Pamah Kulat di Dong, Raub awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 3.35 pagi.
“Sebaik sahaja proses pemadaman selesai, pasukan penyelamat menjumpai kesemua mangsa di lokasi kejadian, ” katanya ketika dihubungi pemberita pagi ini.
Menurut beliau, kesemua mayat berkenaan dibawa ke Hospital Raub untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya tiba di lokasi kejadian pada jam 4.15 pagi dan operasi pemadaman kebakaran itu berjaya dikawal pada 4.48 pagi tadi.
Menurut beliau, kebakaran itu telah memusnahkan 100 peratus struktur rumah selain masing-masing tiga kereta dan tiga motosikal turut terbakar.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub memadamkan kebakaran menggunakan satu aliran hos sepanjang 200 kaki menggunakan sumber air daripada tangki pam jentera bomba,” katanya.
Mohd Razam berkata, sembilan anggota bersama dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu unit Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dari BBP Raub terbabit dalam operasi itu, dengan bantuan lima anggota serta satu FRT dari BBP Lipis.
BERITA LANJUT MENYUSUL


