Cadangan Johari mampu kukuhkan keselamatan tenaga, kesiapsiagaan ekonomi ASEAN

TINDAKAN Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya Israel menyerang Iran telah menghuru-harakan dunia termasuklah rantau ASEAN yang sebahagian negara di rantau itu berada dalam tekanan ekonomi akibat krisis geopolitik yang berlaku.

Jika keadaan itu berterusan ia boleh menjejaskan bekalan minyak negara di rantau itu, ia memandangkan kebanyakan negara ASEAN mengimport sebahagian besar minyak mentah mereka, terutama dari Timur Tengah. Gangguan di kawasan seperti Selat Hormuz boleh terus menjejaskan bekalan dan harga minyak di Asia Tenggara.

Konflik geopolitik di Asia Barat boleh  menyebabkan harga tenaga meningkat dan menambah tekanan inflasi di ASEAN. Negara seperti Filipina, Vietnam, dan Thailand dianggap lebih terdedah kerana import minyak mereka tinggi.

Berikutan  itu, adalah tepat sekali apabila Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Datuk Seri Johari Abdul Ghani baru-baru ini menegaskan, ASEAN perlu membangunkan rangka kerja yang lebih praktikal bagi memperkukuh keselamatan tenaga dan kesiapsiagaan ekonomi rantau ini susulan ketegangan geopolitik global yang semakin menjejaskan perdagangan serta rantaian bekalan antarabangsa.

Antara   langkah yang perlu diberi perhatian ialah usaha membentuk mekanisme simpanan stok minyak di peringkat ASEAN bagi menjamin keterjaminan tenaga jangka panjang.

Perkara itu dibincangkan dalam pertemuan beliau bersama Timbalan Perdana Menteri Singapura, Gan Kim Yong sempena Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AECC) ke-27 di Cebu, Filipina baru-baru ini.

“Antara perkara utama yang dibincangkan ialah keperluan ASEAN membangunkan rangka kerja yang praktikal bagi usaha ‘stockpiling’ minyak untuk meningkatkan keterjaminan dan kesiapsiagaan tenaga jangka panjang di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Tegas Johari, negara anggota ASEAN perlu memainkan peranan lebih proaktif dan pragmatik dalam memperkukuh daya tahan ekonomi serantau terutama ketika dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik dan tekanan terhadap bekalan tenaga global.

Beliau berkata, Malaysia dan Singapura berkongsi hubungan ekonomi yang rapat serta strategik, justeru kerjasama serantau yang lebih kukuh amat penting bagi memastikan ASEAN kekal stabil dan berdaya saing.

Sememangnya cadangan Johari itu amat sesuai dengan situasi semasa. Walaupun ASEAN belum mengalami kehabisan minyak secara menyeluruh, tetapi rantau ini memang sedang menghadapi tekanan keselamatan tenaga yang serius akibat pergantungan tinggi kepada import dan ketidakstabilan geopolitik global.

Negara yang kurang rizab dan lebih bergantung kepada import paling berisiko jika gangguan bekalan berlarutan.

Oleh itu pakar ekonomi menyifatkan cadangan Johari menunjukkan pendekatan yang berpandangan jauh kerana keselamatan tenaga kini berkait rapat dengan kestabilan ekonomi, inflasi, perdagangan, dan keselamatan serantau.

Ia disebabkan  ASEAN sangat bergantung kepada import tenaga, oleh itu ketegangan geopolitik seperti konflik Timur Tengah atau gangguan laluan perdagangan boleh memberi kesan besar kepada harga minyak dan kos hidup.

Pada mas sama negara ASEAN mempunyai tahap kesiapsiagaan yang tidak seimbang — ada negara mempunyai rizab tenaga dan kewangan lebih kukuh, manakala yang lain lebih terdedah.

Ekonomi ASEAN saling berkait. Krisis tenaga di satu negara boleh memberi kesan kepada rantaian bekalan, pelaburan, dan perdagangan serantau.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img