
CALON Perikatan Nasional (PN) di Gemas, Ridzuan Ahmad memohon maaf kepada pengundi Barisan Nasional (BN) atas tindakan dan pendiriannya yang mengguris hati mereka sebelum ini.
Katanya, beliau berharap hubungan baharu antara PN-BN dapat mengukuhkan sokongan pengundi yang mungkin terkesan dengan tindak-tanduknya sebelum ini sepanjang berada dalam blok politik berbeza.
“Saya dulu pun daripada UMNO. Jadi, terasa hati itu berlakulah. Sebelum ini saya bertanding atas tiket PN, tetapi bukan bergabung dengan BN. Kali ini sudah bergabung dengan BN.
“Saya mohon maaf kepada pengundi jika ada kesalahan atau janji yang tidak dipenuhi. Sebagai ADUN (penyandang) mungkin pernah menyakitkan hati pengundi, tetapi hari ini kita bersama dalam satu gabungan, ikatan baharu,” katanya selepas Program Ceramah Perdana Pengenalan Calon BN-PN Parlimen Tampin di Felda Bukit Rokan, di Tampin malam tadi.
Sehubungan itu beliau menolak tanggapan akan berlakunya boikot dalam kalangan penyokong kedua-dua gabungan, sebaliknya yakin jumlah undi yang diperolehi akan meningkat.
“Jika sebelum ini saya menang dengan majoriti 3,100 undi, insya-Allah, saya yakin ia akan berganda dengan sokongan undi daripada penyokong BN. Begitu juga di DUN lain,’’ katanya.
Beliau akan berhadapan dengan dua pencabar iaitu calon Pakatan Harapan Siti Aishah Seman@Othman, Azman Abdullah (Bersatu) dan Ridzuan, yang memenangi DUN berkenaan dengan majoriti 3,120 undi pada PRN 2023.






