CBP lengkapkan penerbitan sulung Structured Covered Sukuk Wakalah

CO-OPBANK Pertama (CBP) berjaya melengkapkan penerbitan sulung Structured Covered Sukuk Wakalah bernilai RM500 juta, sekali gus menjadi institusi perbankan koperasi pertama di Malaysia menerbitkan sukuk berstruktur berkenaan.

Penerbitan itu dilaksanakan menerusi syarikat tujuan khasnya, Himayah Sukuk Berhad di bawah Program Structured Covered Sukuk bernilai RM5 bilion berasaskan prinsip Syariah Wakalah Bi Al-Istithmar. Ia turut merupakan penerbitan pertama di bawah program berkenaan.

Program Sukuk tersebut mendapat penarafan AA2 daripada RAM Rating Services Berhad (RAM Ratings), yang mencerminkan profil kredit dan struktur program yang kukuh.

Penerbitan berkenaan menerima permintaan menggalakkan daripada kumpulan pelabur institusi yang pelbagai, termasuk syarikat pengurusan aset, institusi berkaitan kerajaan (GLC), pengendali takaful dan insurans serta institusi kewangan.

Transaksi itu mencatat nisbah langganan sebanyak 2.97 kali, mencerminkan keyakinan pelabur terhadap kekuatan kewangan, daya tahan serta strategi pertumbuhan jangka panjang CBP.

Sukuk berkenaan ditawarkan pada kadar keuntungan purata 4.20 peratus setahun bagi lima tempoh matang, iaitu 4.07 peratus bagi tempoh tiga tahun, 4.16 peratus bagi empat tahun, 4.22 peratus bagi lima tahun, 4.26 peratus bagi enam tahun dan 4.31 peratus bagi tujuh tahun.

Hasil penerbitan akan digunakan bagi mempelbagaikan sumber pembiayaan bank, memperkukuh pengurusan kecairan serta menyokong aktiviti pembiayaan dan inisiatif pertumbuhan CBP pada masa hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif Co-opbank Pertama, Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata, kejayaan melengkapkan penerbitan sulung Structured Covered Sukuk itu merupakan pencapaian penting bagi bank berkenaan.

“Selain menjadi penerbitan pertama di bawah program RM5 bilion kami, ia juga merupakan Structured Covered Sukuk pertama yang diterbitkan oleh institusi perbankan koperasi di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sambutan kukuh daripada pasaran mencerminkan keyakinan pelabur terhadap asas perniagaan, pengurusan kewangan berhemat dan hala tuju strategik CBP.

“Penerbitan ini meningkatkan fleksibiliti pembiayaan kami dan mengukuhkan keupayaan untuk terus memenuhi keperluan pembiayaan anggota dan pelanggan, di samping mengekalkan kedudukan kecairan yang kukuh,” katanya.

Penerbitan itu turut mengukuhkan komitmen CBP untuk memperkukuh strategi kepelbagaian sumber pembiayaan serta memperluas kehadirannya dalam pasaran modal Islam.

Menurut Khairil Anuar, langkah berkenaan juga mencerminkan usaha berterusan CBP dalam meneroka penyelesaian pembiayaan inovatif dan mampan bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang serta daya tahan kewangan bank.

Transaksi tersebut turut menggariskan peranan CBP dalam menyumbang kepada pembangunan industri kewangan Islam Malaysia, selain mewujudkan nilai mampan untuk anggota, pelanggan dan pihak berkepentingan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here