Cemas diperhati pemandu e-hailing, wanita terjun dari kereta

AKIBAT cemas dan bimbang terhadap keselamatan diri dipercayai menjadi punca seorang penumpang wanita bertindak terjun dari sebuah kenderaan e-hailing yang sedang bergerak di kawasan Taman Eng Ann di Klang semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 9 pagi daripada seorang lelaki tempatan yang juga pemandu e-hailing terbabit berusia 47 tahun.

“Ketika kejadian, pemandu terbabit sedang dalam perjalanan menghantar dua penumpang sebelum salah seorang wanita secara tiba-tiba membuka pintu bahagian kanan belakang lalu terjun keluar ketika kenderaan masih bergerak.

“Pemandu terbabit kemudian segera memberhentikan kenderaan dan mendapati penumpang wanita berkenaan mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Vijaya Rao, hasil siasatan awal mendapati wanita terbabit mendakwa dia bertindak sedemikian kerana berasa cemas selepas mendakwa pemandu e-hailing itu memerhatikannya melalui cermin pandang belakang tanpa sebab yang jelas.

“Susulan kejadian itu, pemandu berkenaan membatalkan pesanan e-hailing tersebut sebelum wanita terbabit dibantu seorang penunggang motosikal untuk dihantar ke klinik berhampiran bagi mendapatkan rawatan,” katanya.

Beliau berkata, pengadu kemudian membuat laporan polis.

“Kita sedang berusaha mengesan penumpang wanita terbabit bagi membantu melengkapkan siasatan. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img