CHINA memberi jaminan akan mencari kaedah terbaik bagi memastikan urusan perniagaan dan pelaburan tidak menjejaskan kepentingan peniaga kecil, mikro dan sederhana (PKMS) di Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu dibangkitkan secara terus dalam pertemuan dua hala bersama Premier Li Qiang di Hanzhou hari ini.
Katanya, kebimbangan berhubung penguasaan pihak luar yang berpotensi menjejaskan kepentingan peniaga kecil dan perusahaan tempatan turut dikemukakan kepada syarikat-syarikat berkaitan termasuk Alibaba.
“Perkara ini telah dikemukakan secara terus dan kita telah mendapat jaminan daripada syarikat-syarikat berkaitan, termasuk Alibaba, serta Premier Li Qiang sendiri.
“Beliau memberi jaminan bahawa kaedah terbaik akan dicari agar sebarang urusan perniagaan tidak menjejaskan kepentingan peniaga kecil, sederhana dan mikro di Malaysia,” katanya pada sidang media sebelum mengakhiri lawatan kerja ke China, lapor Berita RTM.
Perdana Menteri berkata langkah susulan berhubung perkara itu akan diambil selepas mesyuarat Jemaah Menteri pada minggu ini.
Isu kepentingan PKS merupakan antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan dua hala Malaysia-China, selain kerjasama perdagangan, pelaburan, teknologi baharu dan kecerdasan buatan (AI).
Sementara itu, Anwar berkata, Malaysia meraih potensi pelaburan bernilai lebih RM28 bilion hasil daripada perbincangan perniagaan dan pertemuan dengan syarikat industri China.
Beliau berkata jumlah potensi pelaburan itu dicapai semasa perbincangan meja bulat bersama 21 syarikat dan sesi pertemuan dengan lima syarikat gergasi industri China sepanjang lawatan kerja tiga hari beliau ke Shanghai dan Hangzhou, bermula Selasa.
Menurut Anwar pelaburan berimpak tinggi ini merangkumi pelbagai sektor strategik seperti semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), robotik, kenderaan elektrik (EV), bioteknologi dan peranti perubatan termaju.
“Rata-rata syarikat menyatakan komitmen mereka untuk meningkatkan pelaburan atas dasar keyakinan terhadap kestabilan dan dasar yang sedang kita laksanakan.
“Secara keseluruhannya, pertemuan perniagaan ini berjaya merekodkan potensi pelaburan bernilai melebihi RM28 bilion,” kata beliau





