DAP mahu terus mengekalkan peranannya sebagai parti yang menyumbang kepada pembinaan negara, tanpa mengira sama ada parti itu berada dalam kerajaan atau menjadi pembangkang, menerusi perjuangan dasar yang telus, adil dan mampan, kata Naib Presidennya Teo Nie Ching.
Teo yang juga Timbalan Menteri Komunikasi berkata prinsip itu menjadi asas perjuangan DAP dalam memastikan Malaysia terus berkembang sebagai sebuah negara yang mempunyai sistem pentadbiran mampan, selain mengutamakan kepentingan dan kebajikan rakyat.
“Tidak kira kita duduk sebagai pembangkang ataupun dalam kerajaan, kita mahu menjadi pembina negara.
” … kita mahu membangunkan negara bersama-sama dan oleh sebab itu, kita nak pastikan bahawa kita boleh menjadikan Malaysia sebuah negara yang mempunyai satu sistem yang mampan,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama dengan Bernama, baru-baru ini.
Ketua Wanita DAP itu berkata sumbangan parti berkenaan kepada pembangunan negara bukan sahaja tertumpu pada aspek ekonomi dan fizikal, malah turut merangkumi usaha memperkukuh dasar yang inklusif dan adil, termasuk mengambil kira keperluan wanita serta kanak-kanak.
Mengulas penyertaan DAP dalam Kerajaan MADANI ketika ini, Teo berkata kedudukan itu memberikan peluang kepada parti berkenaan untuk menterjemahkan prinsip perjuangannya kepada dasar dan tindakan menerusi penglibatan secara langsung dalam pentadbiran negara
Ahli Parlimen Kulai itu berkata keutamaan ialah memastikan dasar yang diperjuangkan dapat dilaksanakan secara telus dan memberikan manfaat kepada rakyat, sekali gus menyumbang kepada pembangunan negara dalam jangka panjang.
“Hasrat kita ialah mahu memastikan bahawa kita boleh menyumbang kepada pembangunan negara dengan memastikan bahawa kita mempunyai satu dasar yang lebih telus,” katanya.
Ketika ditanya pendekatan DAP menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), Teo berkata parti itu menyerahkan kepada rakyat untuk membuat penilaian, namun usaha meyakinkan pengundi perlu berasaskan pencapaian serta rekod prestasi sepanjang menjadi sebahagian daripada kerajaan.
Beliau memberikan contoh penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM), yang merupakan antara agenda reformasi diperjuangkan sejak lebih 50 tahun lepas sebelum direalisasikan menerusi kelulusan Akta Majlis Media Malaysia di bawah Kerajaan MADANI.
“Malaysia kini mempunyai MMM yang dipengerusikan oleh seorang bekas hakim Mahkamah Persekutuan, sekali gus membuktikan usaha merealisasikan agenda pembaharuan institusi di bawah Kerajaan MADANI.
“Selain itu, Pakatan Harapan (PH) turut memperjuangkan cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri, dengan Pulau Pinang menjadi negeri pertama meminda perlembagaan negeri bagi mengehadkan tempoh jawatan Ketua Menteri kepada 10 tahun dan agenda itu kemudian dibawa ke peringkat Kerajaan Persekutuan dengan harapan usul berkenaan dapat diluluskan di Dewan Rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, menyentuh cabaran melaksanakan dasar ketika berada dalam kerajaan, Teo berkata tidak semua keputusan mendapat sokongan semua pihak, khususnya apabila melibatkan kepentingan golongan tertentu.
Beliau berkata keadaan itu merupakan antara cabaran yang perlu dihadapi oleh parti yang menganggotai kerajaan, namun rekod pelaksanaan dasar perlu dijadikan bukti kepada rakyat tentang usaha yang telah dilakukan
“Saya percaya memang apabila duduk dalam kerajaan, akan ada perkara positif dan negatif … yang negatifnya sangat jelas kerana bukan semua dasar akan disokong oleh rakyat jelata.
” … apabila kita, sebagai contoh, menaikkan gaji minimum kepada RM2,000, ada ahli perniagaan dan majikan yang kurang bersetuju dengan hala tuju tersebut, tetapi saya rasa perkara yang paling penting ialah kita perlu tunjuk rekod prestasi kita kepada pengundi supaya mereka sudi memberikan peluang kepada parti DAP,” katanya.





