Curi kabel: Polis tahan dua suspek selepas aksi kejar-mengejar

DUA lelaki ditahan selepas terlibat dalam kejadian curi kabel yang membawa kepada aksi kejar-mengejar di Jalan Penchala menghala ke Jalan Othman, Petaling Jaya, awal pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan M Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5.19 pagi.

“Sepasukan anggota kereta peronda (MPV) yang digerakkan ke lokasi berjaya mengesan sebuah kenderaan jenis pikap 4×4 berwarna kuning yang disyaki terlibat.

“Bagaimanapun, suspek enggan memberhentikan kenderaan walaupun diarahkan, sebaliknya memecut laju sehingga mencetuskan aksi kejar-mengejar,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, kenderaan suspek kemudian terbabas di bahu jalan berhampiran simpang masuk Jalan Kemajuan 12/16 sebelum mereka cuba melarikan diri dengan keluar dari kenderaan.

“Dua daripada empat suspek berjaya ditahan di lokasi kejadian, manakala dua lagi masih diburu. Polis turut merampas beberapa batang kabel yang telah dipotong di dalam kenderaan berkenaan.

“Siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek yang ditahan merupakan lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an, dengan seorang mempunyai 29 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah, manakala seorang lagi memiliki empat rekod lampau.

“Hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine,” ujarnya.

Tambah beliau, permohonan reman terhadap suspek telah dibenarkan selama tiga hari sehingga 3 April ini bagi membantu siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas,” katanya.

Sehubungan itu, polis kini giat mengesan dua lagi suspek yang masih bebas dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Petaling Jaya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img