Kesan krisis Asia Barat tidak ditanggung sepenuhnya oleh rakyat – Tengku Zafrul

KERAJAAN telah membelanjakan sekitar RM4 bilion menerusi Inisiatif Sokongan Rakyat bagi memastikan rakyat tidak menanggung sepenuhnya kesan kenaikan harga minyak dan gangguan rantaian bekalan global.

Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, peruntukan itu digunakan bagi mengekalkan harga RON95 pada RM1.99 seliter selain meneruskan sokongan diesel untuk sektor yang layak.

Beliau berkata, langkah tersebut merupakan sebahagian daripada pendekatan kerajaan untuk bertindak secara bersasar dalam menyerap tekanan kos tenaga yang berlarutan.

“Rakyat tidak menanggung kesan krisis ini. Pendekatan kerajaan jelas, bukan sekadar bertindak, tetapi bertindak secara bersasar.

“Bila keadaan memerlukan, saya yakin kerajaan akan mengambil tindakan sewajarnya bukan sekadar menjelaskan, tetapi menyelesaikan,” katanya dalam hantaran di laman sosial rasminya hari ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam menegaskan bahawa kedudukan ekonomi Malaysia kini relatif lebih stabil berbanding beberapa negara serantau.

Menurut Perdana Menteri, kestabilan ekonomi membolehkan harga RON95 kekal pada RM1.99 seliter tanpa keperluan melakukan catuan seperti yang berlaku di negara jiran.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul yang juga bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri berkata, sejarah telah menunjukkan negara pernah dilanda krisis kewangan Asia pada 1998, diikuti krisis kewangan global pada 2008 dan pandemik Covid-19 pada 2020 dan dalam setiap krisis ini, negara mampu bertindak dengan pantas dan bersedia menghadapi kemungkinan yang lebih mencabar.

Tambah beliau, kerajaan sedia mengaktifkan stimulus atau inisiatif tambahan secara berperingkat sekiranya keadaan rantaian bekalan dunia semakin mencabar.

Katanya, disiplin fiskal tetap menjadi keutamaan namun kerajaan tidak boleh bersandar kepada angka semata-mata tanpa mengambil kira realiti tekanan kos sara hidup yang dihadapi rakyat.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img