DAP kekal dalam Kerajaan Perpaduan hingga tamat penggal

DAP mendapat mandat besar daripada akar umbinya untuk kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal Parlimen semasa selepas 1,857 perwakilan menyokong usul berkenaan menerusi undi sulit pada Persidangan Parti DAP 2026 yang berlangsung hari ini.

Keputusan itu menyaksikan 88.2 peratus daripada 2,099 undi sah menyokong parti berkenaan terus berada dalam Kerajaan Persekutuan, manakala 242 perwakilan memilih supaya DAP keluar daripada kerajaan.

KEPUTUSAN undi sulit perwakilan pada Persidangan Parti DAP 2026 di PICC Putrajaya hari ini. GAMBAR: Nurul Shafina Jemenon

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, keputusan dengan majoriti besar itu memberi mandat jelas kepada Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) untuk meneruskan peranan parti dalam kerajaan serta memberi tumpuan terhadap agenda reformasi.

“Usul pagi tadi sudah dibentangkan dan dibahaskan serta telah diundi, keputusannya menunjukkan majoriti besar perwakilan telah mengundi untuk kekal sehingga tamat tempoh Parlimen ini.

“Ini adalah satu mandat kepada CEC untuk terus bekerja dan berkhidmat, untuk meneruskan agenda reformasi serta fokus memberi tumpuan menunaikan janji-janji dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).

“Ini adalah mandat kepada kepimpinan,” katanya dalam sidang media selepas persidangan berkenaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di Putrajaya hari ini.

Seramai 2,231 perwakilan hadir pada persidangan itu dengan 2,106 kertas undi dikeluarkan dan jumlah sama diterima semula selepas proses pengundian selesai.

Daripada jumlah itu, sebanyak 2,099 kertas undi disahkan manakala tujuh lagi dikategorikan sebagai undi rosak.

Anthony berkata, jumlah lebih 2,000 perwakilan yang mengambil bahagian dalam proses berkenaan juga cukup tinggi dan mencerminkan pendirian akar umbi parti dari seluruh negara.

“Perwakilan daripada akar umbi, bukan semua sempat hadir. Kalau pilihan raya pun 70 peratus saja boleh hadir. Ini adalah angka cukup tinggi, lebih 2,000 orang.

“Perwakilan bukan tauke-tauke besar, ini hanya akar umbi. Perwakilan kita ada juga penjaja, peniaga kecil dan ini memang satu perkara biasa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menolak dakwaan pihak tertentu bahawa usul berkenaan adalah sebahagian daripada agenda DAP untuk memberi tekanan kepada Perdana Menteri atau kepimpinan Kerajaan Perpaduan.

“Yang pertama, bukan agenda DAP. Kita tahu musuh kita cakap agenda ini agenda DAP untuk tekan Perdana Menteri,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here