PENGANUGERAHAN darjah kebesaran kepada pegawai kanan ATM tidak sewajarnya dilihat semata-mata sebagai ganjaran kepada individu tetapi sebagai satu bentuk pengiktirafan institusi dan masyarakat terhadap perkhidmatan yang telah diberikan kepada negara.
Atas asas itu, proses pencalonannya juga tidak sepatutnya bergantung secara berlebihan kepada pertimbangan peribadi seorang individu. Penganugerahan bukan sekadar ganjaran kepada penerima.
Dalam konteks ketenteraan, seorang pegawai kanan tidak berkhidmat sendirian. Kejayaannya lahir daripada organisasi yang dipimpinnya, anggota bawahan serta masyarakat yang menerima manfaat daripada perkhidmatan tersebut.
Apabila seseorang pegawai kanan berjaya memimpin operasi, meningkatkan kesiagaan, memperbaiki kebajikan anggota, membangunkan hubungan tentera–masyarakat atau memberikan sumbangan kepada keselamatan dan kesejahteraan rakyat, pencapaiannya mempunyai dimensi yang lebih luas daripada sekadar memenuhi job description.
Di sinilah jasa kepada masyarakat menjadi nilai tambah yang penting.
ATM bukan hanya berperanan ketika perang. Masyarakat melihat anggota tentera ketika bencana, operasi mencari dan menyelamat, bantuan kemanusiaan, pengawalan sempadan, pembangunan komuniti serta pelbagai bentuk Military Assistance to Civil Authorities.
Pegawai yang kepimpinannya menghasilkan impak nyata dalam bidang tersebut mempunyai asas munasabah untuk diberikan pengiktirafan negara atau negeri.
Darjah kebesaran dalam konteks ini membawa tiga mesej serentak iaitu penghargaan negara, penghormatan masyarakat dan sokongan moral kepada institusi ATM. Jangan jadikan pencalonan sebagai “hak veto” peribadi.
Perkhidmatan sememangnya mempunyai kedudukan penting dalam menilai pegawainya, malah beliau mempunyai akses kepada rekod prestasi, pencapaian kerjaya, integriti dan keupayaan kepimpinan seseorang pegawai tetapi peranan menilai tidak semestinya bermaksud memiliki hak mutlak menentukan nilai keseluruhan seseorang pegawai.
Ini perbezaan yang sangat penting. Sekiranya keseluruhan proses pencalonan terlalu bergantung kepada pandangan seorang ketua, sistem boleh terdedah kepada persepsi personal preference, hubungan profesional, perbezaan pandangan, persaingan kerjaya ataupun penilaian yang terlalu subjektif.
Walaupun perkara tersebut mungkin tidak berlaku, persepsi bahawa ia boleh berlaku sudah cukup untuk menjejaskan keyakinan terhadap sistem.
Lebih-lebih lagi seseorang pegawai kanan telah berkhidmat mungkin 25 atau 30 tahun di bawah ramai pemerintah, mengetuai pelbagai formasi dan berinteraksi dengan ribuan anggota.
Maka penilaian terhadap keseluruhan jasanya tidak sewajarnya ditentukan hanya oleh hubungan profesionalnya dengan seorang ketua pada satu tempoh tertentu.
Penilaian dari bawah juga mempunyai nilai. Satu perkara yang sering kurang diberikan perhatian ialah pandangan subordinate.
Pegawai dan anggota yang pernah dipimpin seseorang sebenarnya merupakan antara kelompok yang paling hampir menyaksikan corak kepimpinannya. Mereka mengetahui sama ada seseorang ketua mempunyai integriti, menjaga kebajikan anggota, membuat keputusan secara adil, kompeten ketika krisis dan sanggup bertanggungjawab terhadap keputusan organisasi.
Ini bukan bermaksud pencalonan darjah kebesaran perlu ditentukan melalui populariti atau undian anggota. Itu juga boleh menimbulkan masalah, namun bottom-up assessment boleh menjadi salah satu indikator tambahan kepada rekod rasmi.
Jika penilaian atasan, rakan setara, subordinate, rekod perkhidmatan dan impak kepada masyarakat menunjukkan gambaran yang konsisten, keputusan menjadi jauh lebih objektif. Dalam pengurusan moden, pendekatan sedemikian hampir menyerupai 360-degree assessment.
Penganugerahan mempunyai kesan psikologi kepada ATM. Ada satu dimensi yang lebih besar. Apabila seorang pegawai kanan yang benar-benar dihormati anggotanya menerima pengiktirafan negara atau negeri, anggota bawahan turut merasakan bahawa perkhidmatan organisasi mereka dihargai.
Mereka mungkin melihatnya sebagai, “Ketua kami dihargai kerana apa yang kami lakukan bersama.”
Kesan psikologi ini tidak kecil. Ia meningkatkan esprit de Corps, kebanggaan organisasi dan keyakinan bahawa khidmat kepada negara akhirnya mendapat pengiktirafan.
Sebaliknya, sekiranya seseorang yang mempunyai rekod perkhidmatan baik, dihormati subordinate dan mempunyai sumbangan masyarakat yang jelas dilihat berulang kali terhalang tanpa alasan objektif yang difahami, ia boleh melahirkan persoalan dalaman, adakah sistem menghargai merit atau hubungan?
Persoalan seperti itu lebih merosakkan daripada isu pingat itu sendiri dan yang diperlukan ialah sistem bukan budi bicara individu. Justeru, pendekatan terbaik bukan mengatakan semua pegawai kanan mesti diberikan darjah kebesaran. Itu akan menurunkan nilai sesuatu anugerah.
Sebaliknya, ATM boleh mempunyai mekanisme pencalonan yang lebih institusi iaitu rekod perkhidmatan, integriti, pencapaian kepimpinan, sumbangan operasi, pembangunan organisasi, kebajikan anggota dan sumbangan kepada masyarakat dinilai secara kolektif.
Perkhidmatan memberikan penilaian penting tetapi bukan menjadi satu-satunya suara yang menentukan keseluruhan proses, malah jika terdapat bantahan terhadap sesuatu pencalonan, bantahan tersebut sewajarnya mempunyai asas profesional dan boleh dipertanggungjawabkan, bukannya sekadar “tidak diperakukan”.
Ini penting kerana ada perbezaan besar antara, “Saya tidak memilih pegawai ini” dengan “Berdasarkan kriteria yang ditetapkan, pegawai ini belum memenuhi syarat.”Ayat yang pertama bersifat individu, yang kedua mencerminkan institusi.
Akhirnya, darjah kebesaran bukan hak mutlak penerima tetapi peluang untuk dicalonkan secara adil juga tidak seharusnya menjadi hak mutlak seseorang ketua untuk memberi atau menafikannya.
Apabila seseorang pegawai kanan telah membuktikan kepimpinan, integriti, perkhidmatan kepada ATM serta memberikan nilai tambah kepada masyarakat, pengiktirafan terhadapnya mempunyai makna lebih besar daripada gelaran di hadapan nama.
Ia menjadi simbol bahawa negara dan rakyat menghargai khidmat angkatan tenteranya. Kerana itu, persoalan sebenar bukan “siapa yang mahu memberikan pingat kepada siapa?”
Persoalan yang lebih matang ialah “Adakah sistem kita mampu mengenal pasti mereka yang benar-benar berjasa dan memastikan jasa itu tidak dinafikan hanya kerana pertimbangan seseorang individu?”
Jika jawapannya YA, darjah kebesaran akan kekal sebagai penghormatan negara terhadap jasa, bukannya dilihat sebagai keistimewaan yang ditentukan oleh kedudukan dan hubungan.





