DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama beberapa agensi penguat kuasa menggempur premis perniagaan di sekitar Jalan Hang Lekir dan Jalan Petaling dalam Operasi Bersepadu Gasak Siri 2 Tahun 2026, kelmarin.
Operasi dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi membanteras pelbagai kesalahan membabitkan premis perniagaan dikendalikan warga asing.
DBKL dalam kenyataan berkata, operasi itu memfokuskan pemeriksaan terhadap premis tanpa lesen, halangan tred di tempat awam, kebersihan premis, penjualan barang kawalan serta kesalahan berkaitan permit kerja dan pendaftaran syarikat.
“Hasil operasi, DBKL mengambil tindakan sita terhadap empat premis yang menjalankan aktiviti perniagaan dikendalikan warga asing.
“Sebanyak 13 notis kompaun turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen perniagaan, pemegang lesen tiada di premis, menggaji pekerja warga asing tanpa kebenaran dan halangan tred di tempat awam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, tindakan penguatkuasaan itu membabitkan kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016, UUK Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016 serta Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
Tambah kenyataan itu, antara barangan yang disita termasuk pakaian, beg, gerai beroda, aksesori telefon dan jam tangan.
“Semua barang sitaan dipindahkan ke Stor Sitaan DBKL untuk tindakan lanjut serta proses dokumentasi,” katanya.
DBKL berkata, operasi bersepadu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan undang-undang oleh peniaga di ibu negara.


