Dedahkan kronologi urus niaga litar lumba Sungai Petani, kata ADUN Bakar Arang

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Arang, Adam Loh menggesa Kerajaan Negeri Kedah mendedahkan keseluruhan kronologi urus niaga projek Litar Lumba Antarabangsa Sungai Petani bagi menjelaskan kaitan transaksi bernilai RM40 juta dengan tanah yang asalnya dimiliki Menteri Besar Kedah Incorporated (MBKI).

Beliau berkata, persoalan yang dibangkitkan bukan sama ada wang RM40 juta yang sedang disiasat itu milik kerajaan negeri, sebaliknya bagaimana rangkaian urus niaga berkenaan berkait dengan tanah milik asal MBKI dan projek yang pernah diumumkan kerajaan negeri.

Katanya, sebarang dakwaan berkaitan pecah amanah perlu diserahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk disiasat tanpa mendahului hasil siasatan atau menghukum mana-mana pihak.

“Namun, mengatakan isu tersebut langsung tidak mempunyai kaitan dengan projek Litar Lumba Sungai Petani juga memerlukan penjelasan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Cabang PKR Sungai Petani berkata, rekod awam menunjukkan tanah projek itu pada asalnya milik MBKI dan pada 2022, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan kerjasama antara Permodalan Kedah Berhad (PKB) dan Open Road bagi membangunkan litar berkenaan.

Menurutnya, rekod urus niaga yang kemudiannya didedahkan kepada Bursa Malaysia menunjukkan PKB Open Road membeli tanah seluas 150 ekar daripada MBKI dengan harga RM24.3 juta pada Januari 2023.

“Sebahagian daripada tanah itu, seluas 80 ekar, kemudiannya dilupuskan kepada ORIC Development pada harga RM12.96 juta,” katanya.

Beliau turut mendakwa PKB mempunyai pegangan sebanyak 20 peratus dalam PKB Open Road.

Adam Loh berkata, pada 2024, transaksi bernilai RM40 juta diumumkan membabitkan cadangan pembelian 51 peratus kepentingan dalam PKB Open Road dan ORIC Development.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan negeri menjelaskan keseluruhan urus niaga berkenaan, termasuk kedudukan peruntukan awal RM30 juta, penggunaan RM10 juta bagi kerja-kerja awal, baki RM20 juta serta status projek ketika ini.

“Rakyat berhak mengetahui keseluruhan kronologi, daripada peruntukan RM30 juta, penggunaan RM10 juta untuk kerja awal, baki RM20 juta, keputusan melibatkan tanah MBKI, kerjasama PKB–Open Road, penjualan tanah pada 2023, sehinggalah kedudukan projek pada hari ini,” katanya.

Beliau berkata, perbelanjaan dan keputusan yang dibuat ketika pentadbiran terdahulu juga perlu dipertanggungjawabkan sekiranya terdapat kelemahan atau pembaziran.

“Saya tidak berminat menjadikan perkara ini sekadar pertelingkahan PH lawan PN atau kerajaan lama lawan kerajaan sekarang. Ini projek yang sudah melalui beberapa pentadbiran dan sudah terlalu lama tertangguh.

“Jadi kepentingan saya ketika ini adalah untuk tahu apa yang sebenarnya berlaku, bagaimana aset dan kepentingan negeri diuruskan dan bila rakyat Kedah akan mendapat kemudahan yang telah dijanjikan kepada mereka.

“Jika semuanya dilakukan mengikut prosedur dan kepentingan negeri tidak terjejas, bentangkan fakta dan dokumen dengan jelas. Rakyat mahu jawapan,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here