Lelaki terlepas penerbangan didakwa selepas rosakkan kaunter, cederakan anggota keselamatan di KLIA2

SEORANG lelaki ditahan selepas bertindak merosakkan kemudahan awam di kaunter lapangan terbang serta mencederakan anggota keselamatan dipercayai akibat tertekan selepas terlepas penerbangan, baru-baru ini.

Selain itu, suspek juga dikatakan bertindak sedemikian selepas berselisih faham dengan isterinya berkaitan isu penjagaan anak dalam kejadian yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), di Sepang itu.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner M Ravi berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu sebelum bertindak menahan suspek pada 5 April lalu kira-kira jam 10.30 pagi di Kaunter Pertukaran Antarabangsa KLIA2.

Menurutnya, tangkapan melibatkan seorang lelaki warga asing berusia 33 tahun yang ketika itu menunggu penerbangan transit ke Hatyai, Thailand.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai terlepas penerbangan selain berlaku perselisihan faham dengan isterinya berkaitan isu penjagaan anak.

“Suspek kemudian bertindak agresif dengan menghentak cermin kaunter, mengetuk papan tanda penerbangan hingga patah serta membaling botol minuman ke arah kaunter,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ravi, tindakan suspek turut menyebabkan seorang anggota keselamatan yang bertugas mengalami kecederaan.

Tambah beliau, suspek juga telah mengaku bersalah selepas didakwa di Mahkamah Sepang pada 7 April lalu.

“Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

“Selain itu, suspek turut dituduh di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil yang membawa hukuman denda sehingga RM100,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi arahan pihak keselamatan dan tidak bertindak di luar kawalan sehingga boleh mencetuskan kegusaran di tempat awam, khususnya di Terminal KLIA1 dan KLIA2.

Terdahulu, tular video dalam media sosial memaparkan seorang lelaki warga asing mengamuk serta merosakkan papan tanda di kaunter KLIA2 selain bertindak agresif terhadap anggota keselamatan.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img