DUA beranak maut selepas kereta dinaiki mereka dihempap sebuah kontena dan lori treler yang terbalik dalam kemalangan di Jalan Pelabuhan Sepanggar Bay, berhampiran Wisma SabahPorts di Kota Kinabalu malam tadi.
Mangsa yang maut ialah pemandu kenderaan serba guna (MPV), Mohd Jadi Pelbi, 53, bersama dengan anak perempuannya yang berada di tempat duduk penumpang Norfaieza Mohd Jadi, 24.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah memaklumkan menurut keterangan saksi, lori treler berkenaan sedang menjalankan kerja menaikkan sebuah kontena di tepi jalan utama ke atas treler.
“Ia hilang keseimbangan lalu terbalik menghempap kenderaan mangsa yang sedang melalui jalan berkenaan. Sebanyak 26 anggota bersama pelbagai jentera bergegas ke lokasi kejadian sejauh 25 kilometer sejurus menerima panggilan kecemasan pada 6.31 petang,” menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi itu, hari ini.
Menurut Pusat Gerakan JBPM, operasi menyelamat mangsa yang tersepit di dalam kereta itu memerlukan bantuan dua buah kren daripada syarikat lori terbabit yang tiba di tapak kejadian pada 9.21 malam bagi mengangkat muatan kontena berkenaan.

Pasukan penyelamat kemudian bertindak mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit menggunakan peralatan pemotong hidraulik khas sejurus bebanan kontena dialihkan daripada kenderaan terbabit.
Kedua-dua mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan yang berada di lokasi sebelum mayat dua beranak itu diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut serta urusan bedah siasat.
Operasi menyelamat yang turut dibantu 17 anggota polis ditamatkan sepenuhnya pada 10.30 malam selepas keadaan di kawasan perindustrian itu disahkan selamat daripada sebarang bahaya lain.
Sementara itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustafa Sakmud berkata pihak yang didapati cuai dan gagal mematuhi piawaian keselamatan pengendalian kontena sehingga mengorbankan dua beranak di Jalan Sepanggar petang semalam itu, akan dipertanggungjawabkan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sepanggar menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar insiden maut itu, khususnya membabitkan tatacara keselamatan operasi kenderaan berat di kawasan berkenaan.
“Jika ada elemen cuai dan ‘non-compliance’ yang melibatkan mana-mana pihak, saya akan pastikan mereka yang terlibat dipertanggungjawabkan kerana cukuplah insiden kemalangan melibatkan kenderaan berat ini berulang di Sepanggar.
“Sebagai seorang ayah, luluh hati saya menerima perkhabaran mengenai tragedi menyayat hati ini dan keutamaan kita adalah memastikan keluarga mangsa mendapat pembelaan serta sokongan sewajarnya,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau hari ini.
Mustafa turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham Mohd Jadi Pelbi, 53, dan anak perempuannya Allahyarhamah Norfaieza Mohd Jadi, 24 yang maut dalam kejadian
Bagi membela nasib waris terjejas, beliau telah mengarahkan Pusat Khidmat Parlimen Sepanggar (Suara Sepanggar) menziarahi keluarga mangsa bagi mengenal pasti keperluan mendesak di samping membantu menyemak serta menguruskan sebarang bentuk bantuan dan pampasan yang layak diterima.





