Dua kali ditipu pelaburan palsu: Penjawat awam rugi hampir RM100,000

BUKAN sekali tapi dua kali menjadi mangsa. Itulah nasib menimpa seorang penjawat awam wanita yang mengalami kerugian hampir RM100,000 akibat dua kali ditipu sindiket pelaburan yang tidak wujud.

Mangsa yang berusia 38 tahun membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu kira-kira jam 2.50 petang semalam selepas menyedari menjadi mangsa kedua-dua sindiket penipuan itu.

ASISTEN Komisioner Azli Mohd Noor

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, kejadian bermula pada 1 Mei lalu sewaktu mangsa berada di rumahnya di daerah ini dan ternampak satu iklan pelaburan dalam aplikasi Telegram kira-kira jam 2 petang.

Katanya, mangsa kemudian berminat untuk menyertai sebuah pelaburan yang dikendalikan oleh seorang individu.

“Mangsa kemudian diberikan penerangan berkaitan pelaburan itu dan dijanjikan keuntungan lumayan dalam tempoh enam jam selepas pelaburan dibuat.

“Mangsa kemudian memilih pakej permulaan sebanyak RM1,000. Selepas membuat bayaran pertama, mangsa diminta untuk membuat beberapa bayaran tambahan atas pelbagai alasan kononnya bagi membolehkan keuntungan dikeluarkan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa turut membuat 12 transaksi ke empat akaun yang berbeza, keseluruhan berjumlah RM48,965 dan semua transaksi itu dilakukan antara 1 hingga 7 Mei lalu.

Azli berkata, pada 11 Mei lalu mangsa sekali lagi terpedaya dengan satu lagi pelaburan yang juga diiklankan di Telegram.

“Dengan janji keuntungan dalam tempoh 30 minit, mangsa kemudian melakukan beberapa transaksi ke akaun bank berbeza sehingga mengalami kerugian tambahan sebanyak RM50,311.

“Selepas itu, mangsa masih diminta membuat bayaran lagi sebanyak RM38,527 namun mangsa tidak berbuat demikian kerana mengesyaki dirinya ditipu. Dalam kes ini, transaksi dilakukan pada 11 hingga 13 Mei lalu,” katanya.

Menurutnya, pelaburan itu dilakukan secara dalam talian dan pengadu tidak ada bersemuka dengan mana-mana individu manakala sumber kewangan adalah wang milik sendiri dan hasil gadaian barang kemas milik mangsa.

Katanya, mangsa yang langsung tidak menerima sebarang keuntungan dalam urusan pelaburan itu, akhirnya datang ke balai polis untuk membuat laporan.

Azli berkata, akibat terpedaya, mangsa mengalami kerugian sebanyak RM99,276 dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img