Dua lelaki ditahan, cubaan seleweng 2,000 liter diesel subsidi

DUA lelaki dipercayai menyeleweng diesel bersubsidi menggunakan lori bonded gagal apabila mereka ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor di Jalan Batu Tiga Lama, Shah Alam, semalam.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Selangor, Mohd Hanizam Kechek berkata, pihaknya mengesan sebuah lori bonded dalam keadaan mencurigakan ketika membuat rondaan di sebuah stesen minyak kira-kira jam 1 tengah hari.

Menurutnya, hasil pemantauan mendapati lori berkenaan sedang membuat pengisian diesel sebelum pemeriksaan lanjut dilakukan anggota penguat kuasa.

“Lori itu dikendalikan dua warga tempatan berusia 45 tahun yang dipercayai pemandu dan kelindan.

“Anggota kemudian menghentikan aktiviti pengisian dan pemeriksaan mendapati badan lori membawa enam unit Intermediate Bulk Container (IBC) berkapasiti 1,000 liter setiap satu dengan beberapa unit berisi bahan api disyaki diesel,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, anggaran keseluruhan diesel yang berjaya diselamatkan dan dipercayai cuba diseleweng itu kira-kira 2,000 liter.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut turut menemukan beberapa keping ‘fleet card’ dipercayai digunakan untuk transaksi pembelian diesel bersubsidi.

“Satu daripada kad berkenaan mempunyai nombor pengenalan yang berbeza dengan nombor pendaftaran lori yang ditahan.

“Penemuan itu memberi petunjuk awal berhubung kemungkinan berlaku salah guna kemudahan ‘fleet card’,” katanya.

Mohd Hanizam berkata, kedua-dua suspek juga gagal mengemukakan dokumen sah bagi memiliki serta membawa barang kawalan berjadual jenis diesel.

Katanya, kedua-dua lelaki itu ditahan bagi tujuan rakaman percakapan dan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM120,000.

“Lori dan bahan api yang dirampas disita serta disimpan di stor penyimpanan eksibit KPDN Selangor untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3(1) kerana disyaki memiliki barang kawalan tanpa kebenaran sah.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img