IMPIAN seorang pembantu pengurus sumber manusia untuk meraih keuntungan besar menerusi pelaburan saham dalam talian bertukar mimpi ngeri apabila dia kerugian lebih RM150,000 selepas menjadi mangsa penipuan skim pelaburan tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, pihaknya menerima laporan daripada wanita tempatan berusia awal 40-an itu pada jam 6.33 petang semalam.
Menurutnya, mangsa mendakwa mula berurusan dengan seorang individu dikenali sebagai Chloe Lau pada 18 Mac lalu selepas tertarik dengan tawaran skim pelaburan saham yang dipromosikan menerusi media sosial.
“Mangsa berminat menyertai pelaburan itu kerana dijanjikan keuntungan lumayan selain ditunjukkan rekod kononnya pelabur lain memperoleh pulangan mencecah ratusan ribu ringgit.
“Mangsa kemudian diminta memuat turun satu aplikasi dikenali sebagai ‘AB Limited’ sebelum membuat beberapa transaksi pembayaran ke akaun berbeza,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang bekerja sebagai pembantu pengurus di sebuah syarikat swasta di Nilai telah memindahkan wang berjumlah RM163,500 secara berperingkat.
Bagaimanapun, katanya, mangsa mula menyedari dirinya ditipu apabila gagal mengeluarkan keuntungan yang dipaparkan dalam aplikasi tersebut walaupun sudah beberapa kali mencuba.
“Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah Nilai kini membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.


