Samsuri perlu pastikan ‘tidak dikotak-katik kawan, jangan sampai dibuli lawan’

DATUK Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar kini sudah menjadi Ketua Pembangkang. Beliau juga adalah Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

Ahli Parlimen Kemaman itu merupakan pemimpin keempat daripada Pas menjadi Ketua Pembangkang, selepas Burhanuddin al-Helmy, Datuk Fadzil Noor (199-2002) dan  Tan Sri Abdul Hadi Awang (2002-2004).

Pelantikan Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas sudah tentulah satu kebanggaan kepada parti itu. Ia memandangkan jawatan Ketua Pembangkang dilihat sebagai calon Perdana Menteri (PM) jika blok pembangkang menang PRU.

Dari segi latar belakang pendidikan, tiada sesiapapun boleh mempertikaikan kehebatan Ahmad Samsuri yang memiliki sarjana Sains dalam Pembakaran dan Tenaga daripada Pusat Kajian Pembakaran, Universiti Leeds  dan Doktor Falsafah (PhD) Pencucuhan dan Pembakaran Aeroengine, Kegagalan Enjin Altitud Tinggi dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanikal, di universiti sama.

Tetapi apa yang menjadi persoalan sejauh manakah kemampuan Ahmad Samsuri untuk menjadi Ketua Pembangkang yang dihormati. Sebelum ini apabila nama beliau disebut-sebut menjadi Pengerusi PN untuk menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletakkan jawatan secara sukarela, ramai bertanya apakah Ahmad Samsuri mampu melaksanakan tanggungjawab itu?

Bukan kerana Ahmad Samsuri tidak layak memegang jawatan itu tetapi disebabkan beliau mewakili Pas. Ada bertanya mampukah pemimpin Pas menjadi PM? Bolehkah pemimpin Pas menarik sokongan orang bukan Melayu?

 

Justeru ‘Ini Kalilah’, Ahmad Samsuri yang di hatinya Pas, di jiwanya Perikatan Nasional, batang tubungnya Terengganu  untuk membuktikan keupayaan beliau. Apa yang paling penting sebagai Pengerusi PN, beliau harus tegas membuat keputusan dan sebagai Ketua Pembangkang perlu lantang memperjuangkan sesuatu isu.

Sebagai Pengerusi PN, Ahmad Samsuri harus berani untuk memastikan Pas yang merupakan tonggak utama PN tidak diperkotak-katikkan oleh sekutunya, Bersatu. Perlu diingat sebelum ini sudah ada persepsi, lebih tepat lagi propaganda bahawa Ahmad Samsuri  sekadar  ‘boneka’ apabila memegang jawatan itu.

 Ia memandangkan beliau hanya Naib Presiden bukan Presiden dan hanya Menteri Besar tidak pernah menjadi Menteri mampukah beliau mengawal ‘taiko-taiko’ dalam PN?

 Oleh itu Ahmad Samsuri harus memastikan Pas sebagai parti utama dan ‘nyawa’ PN tidak terus diperkotak-katikkan oleh kawan  atau dibuli oleh lawan. Manakala sebagai Pengerusi PN dan  calon PM,  Ahmad Samsuri perlu buktikan bijak uruskan kawan, tegas dengan  lawan.

 Sebagai Ketua Pembangkang dan Pengerusi PN tanggungjawab beliau besar untuk memastikan gabungan itu mencapai kejayaan dalam pilihan raya.

 Faktanya, Pas jauh lebih baik berbanding Bersatu. Pas ada kerusi paling banyak di blok pembangkang, Pas dilihat parti bersih apabila tidak ada pemimpin ada isu integriti. Pas kuasai empat negeri Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Oleh itu apa gunanya Pas menang bergaya dalam pilihan raya tetapi orang lain berkuasa. Kali ini peluang kepada Pas.

Seperkara lagi, Ahmad Samsuri harus sentiasa ‘dilihat wujud’ sebagai Pengerusi PN dan Ketua Pembangkang’. Perlu aktif membuat kenyataan berkaitan isu dalam negara atau antarabangsa.

Apapun penulis doa yang terbaik untuk Ahmad Samsuri untuk menjalankan enam tugas sebagai Menteri Besar Terengganu, Pengerusi PN, Ketua Pembangkang, Ahli Parlimen Kemaman, ADUN Rhu Redang dan Naib Presiden Pas.

Yang pentingkan beliau perlu Pas tidak diperkotak-katikkan oleh kawan, tidak dibuli lawan. Kalau itu berlaku Ahmad Samsuri bertanggungjawab kerana beliau kini adalah  ‘Orang Nombor Satu’ pembangkang!

Ingat sementara ramai gembira dengan pelantikan beliau, ada juga sedang bersedia bersorak jika beliau gagal.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img