DUA lelaki yang tular selepas dipercayai melarikan diri daripada polis di Wangsa Maju, mengaku tidak bersalah terhadap enam pertuduhan termasuk menghalang penjawat awam dan menggunakan nombor pendaftaran kenderaan palsu.
Kedua-dua tertuduh, Muhammad Putra Zulfaiz Zaidi, 32, dan Mohamad Danial Haiqal Kamal Arifin, 21, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan beberapa hakim dan majistret.
Di hadapan Majistret Siti Nur Ain Ariffin, mereka didakwa menghalang tiga anggota polis, iaitu Koperal Muhamad Azfar Abdul Rahman, Lans Koperal Muhammad Yashar Hassan dan Koperal Syisyi Pauzi, ketika menjalankan tugas.
Mereka didakwa melarikan diri menggunakan trak pikap Isuzu D-Max yang menggunakan nombor pendaftaran palsu bagi mengelak pemeriksaan polis di Jalan Wangsa 1 dan Jalan Wangsa 5, Bukit Antarabangsa, masing-masing pada jam 5.30 pagi, 10 Oktober dan jam 11 pagi, 11 Oktober lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Muhammad Putra Zulfaiz turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menggunakan nombor pendaftaran palsu serta mengambil dadah.
Bagi pertuduhan dadah, dia didakwa melakukan kesalahan itu di tandas Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Ampang Jaya pada jam 10.45 malam, 11 Oktober lalu. Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun.
Dalam prosiding di hadapan Majistret Tiong Wen Wen, kedua-dua tertuduh turut didakwa memandu Isuzu D-Max secara berbahaya kepada orang awam di lokasi dan waktu yang sama, mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mereka juga berdepan pertuduhan gagal memberikan keterangan munasabah berhubung pemilikan beberapa peralatan, termasuk tali sling, kunci besi, spana boleh laras, pemotong wayar, sarung tangan, tukul besi, crowbar, mata pahat dan sebatang besi.
Mohamad Danial Haiqal turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mengambil dadah di lokasi, masa dan tarikh yang sama seperti Muhammad Putra Zulfaiz.
Di Mahkamah Sesyen, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki sebilah parang dan sabit tanpa tujuan yang sah pada jam 11 pagi, 11 Oktober lalu.
Mahkamah membenarkan Muhammad Putra Zulfaiz diikat jamin RM10,500, manakala Mohamad Danial Haiqal dibenarkan jaminan RM8,000. Bagaimanapun, jaminan bagi pertuduhan di hadapan Hakim Norshila Kamarudin dan Majistret Wen Wen tidak dibenarkan berikutan ketiadaan penjamin ketika prosiding.
Kesemua mahkamah menetapkan 26 November ini untuk sebutan semula kes.
Muhammad Putra Zulfaiz diwakili peguam Daneish Thayalan, manakala Mohamad Danial Haiqal diwakili Erni Ahmad.
Sebelum ini, beberapa video tular di media sosial memaparkan anggota polis dengan bantuan orang awam mengejar kedua-dua lelaki itu selepas mereka dipercayai cuba melarikan diri daripada polis dan melanggar kenderaan awam.





