Kemalangan motosikal: JKR siasat permukaan jalan bercat

JABATAN Kerja Raya (JKR) menjalankan siasatan dan pemeriksaan teknikal susulan kemalangan membabitkan beberapa motosikal yang dipercayai berlaku di permukaan jalan bercat sebelum terowong motosikal di Lebuhraya Persekutuan (FT02), berhampiran Empire Subang Jaya, semalam.

JKR dalam kenyataan berkata, terowong motosikal berkenaan ditutup sementara bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya, selain pemeriksaan dijalankan bagi mengenal pasti kualiti kerja permukaan jalan serta bahan cat yang digunakan.

“Kemalangan itu dipercayai berlaku di permukaan jalan bercat sebelum terowong motosikal berhampiran Empire Subang Jaya.

“Siasatan lanjut akan dilaksanakan bagi mengenal pasti kualiti kerja permukaan jalan serta bahan cat yang digunakan di lorong motosikal.

“Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan akan ditentukan berdasarkan hasil pemeriksaan serta penilaian teknikal,” katanya.

JKR berkata, bahan digunakan bagi kerja menaik taraf terowong itu adalah Cold Plastic MMA (Methyl Methacrylate), iaitu bahan sama yang digunakan dalam kerja AK Transformasi Terowong pada 2018.

Susulan kejadian, JKR Daerah Petaling menyediakan Traffic Management Plan (TMP) sementara selain menutup terowong motosikal berkenaan bagi memastikan keselamatan pengguna.

“Tindakan pembaikan atau mitigasi akan dilaksanakan berdasarkan hasil siasatan teknikal,” katanya.

Untuk rekod, projek menaik taraf infrastruktur laluan motosikal di Lebuhraya Persekutuan FT02 itu membabitkan kerja membaik pulih kawasan terowong laluan motosikal serta kerja berkaitan secara setempat dari Seksyen 34.4 hingga 13.9 di daerah Petaling.

Kerja berkenaan bermula 31 Mac lalu dan siap pada 30 Jun lalu.

Terdahulu, kejadian kemalangan membabitkan beberapa motosikal di laluan berkenaan tular di media sosial.

Pada Ogos lalu, JKR dilaporkan menjelaskan permukaan berwarna di laluan keluar Subang adalah rawatan permukaan setempat berdasarkan pertimbangan kejuruteraan dan kelulusan pihak berkuasa berkaitan.

Penggunaan permukaan berwarna itu bertujuan menandakan kawasan berisiko konflik seperti selekoh dan laluan keluar, selain memberi amaran kepada penunggang supaya lebih berhati-hati.

Pengguna laluan berkenaan sebelum ini turut membangkitkan kebimbangan mengenai keadaan permukaan berwarna itu ketika cuaca hujan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here