Dua penunggang motosikal berkuasa tinggi ditahan rakam aksi berbahaya

POLIS menahan dua penunggang motosikal berkuasa tinggi yang menjadikan Jambatan Putra di  Putrajaya sebagai lokasi rakaman kandungan media sosial selepas video aksi berbahaya mereka tular.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pihaknya mengesan hantaran tular dalam media sosial yang menunjukkan dua motosikal berkuasa tinggi dipercayai ditunggang secara berbahaya di lokasi itu, semalam.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, JSPT Kuala Lumpur berjaya mengesan salah seorang penunggang motosikal yang terlibat sebelum individu tersebut tampil ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya bagi membantu siasatan.

“Suspek lelaki tempatan berusia 31 tahun itu, mengaku sebagai pemilik salah sebuah motosikal terlibat dan mengesahkan kejadian berkenaan berlaku pada Ahad lalu, sekitar jam 12.30 tengah malam.

“Siasatan awal turut mendapati kumpulan tersebut berada di lokasi berkenaan bagi tujuan berkumpul dan menghasilkan kandungan media sosial dan bukan semata-mata untuk tujuan perlumbaan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Bagaimanapun, Mohd Zamzuri berkata, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti tujuan sebenar kejadian tersebut.

Katanya lagi, siasatan awal turut mendapati kumpulan penunggang motosikal berkenaan dipercayai pertama kali berkumpul di lokasi itu yang terletak berhampiran Masjid Putra.

“Bertindak atas maklumat dan risikan, pihak JSPT Kuala Lumpur telah berjaya mengesan kedua-dua penunggang yang terlibat.

“Kedua-dua suspek iaitu lelaki tempatan masing-masing berusia 31 dan 33 tahun ditahan bagi membantu siasatan dan motosikal yang digunakan mereka turut disita,” katanya.

Beliau berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 81 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Katanya, kedua-dua suspek sudah diambil keterangan dan telah dibebaskan dengan jaminan polis.

“JSPT Kuala Lumpur sedang mengesan beberapa individu lain yang dipercayai turut terlibat dalam rakaman video tersebut,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img