DUA sepupu ditemukan lemas ketika mandi di sebuah kolam kuari di Kampung Gum-Gum, di Sandakan petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, kedua-dua mangsa dikenali sebagai Nurfatin, 15, dan Nurdina Nirmala, 17.
Difahamkan, kedua-dua remaja itu pergi ke kolam berkenaan untuk mandi sebelum dilaporkan lemas.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 5.31 petang dan menghantar sepasukan tujuh anggota ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat.
Menurutnya, salah seorang daripada mangsa ditemukan tidak sedarkan diri oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Seorang lagi mangsa ditemukan pasukan bomba dan penyelamat sejurus memulakan operasi.
“Pasukan perubatan yang turut berada di lokasi mengesahkan kedua-dua mangsa sudah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi media hari ini.
Menurut Jimmy, mayat kedua-dua sepupu itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, operasi ditamatkan selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.


