DUA remaja lelaki direman tujuh hari manakala dua warga emas termasuk seorang wanita direman tiga hari bagi membantu siasatan kes bunuh seorang penuntut kolej perempuan dengan 61 kesan tikaman yang ditemukan di Kampung Simah, Ketereh, Kelantan semalam.
Perintah reman terhadap dua lelaki berusia 19 tahun, warga emas lelaki 66 tahun dan wanita 60 tahun dikeluarkan Majistret Amirul Asyraf Abdul Rasid di Mahkamah Majistret di Kota Bharu bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, kesemua suspek tiba di mahkamah pada 8.40 pagi dengan memakai pakaian lokap, bergari dan diiringi anggota polis.
Semalam, Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat mengesahkan penemuan mayat seorang penuntut kolej perempuan berusia 19 tahun di jalan berhampiran sawah di kampung itu.
Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa berasal dari Perak dan dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum mayat dibuang di kawasan tersebut.
Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian mangsa akibat kecederaan tikaman berganda pada bahagian dada.
*Jenazah Allahyarham Nurfisya selamat dikebumi
Sementara itu jenazah Allahyarham Nurfisya Zulkifly, 19, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Periang, Karai, di Kuala Kangsar sekitar jam 5.30 pagi tadi.
Terdahulu jenazah dibawa dari Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu jam 10.30 malam tadi.
seorang bapa saudara mangsa yang enggan dikenali meminta agar pengamal media memberi ruang kepada pihak keluarga dalam menghadapi tragedi itu, selain enggan ditemubual.
“Kami sebenarnya tak nak ulas apa-apa sebab kami sekarang dalam keadaan kami takut bercakap apa yang tak patut cakap. Jadi saya harap beri ruang pada kami, kalau kami sudah tenang nanti kami boleh beri kerjasama.
“Beri kami ruang dan berehat dahulu. Kami pun belum sempat tidur lagi sekembalinya dari Kelantan. Kami sampai sana sekitar 9 malam tadi,” katanya yang memaklumkan keluarga mangsa masih terkejut dengan kejadian itu.
Sebelum ini, mayat Allahyarham Nurfisya ditemui terbaring atas jalan di kawasan sawah di Kampung Kubang Getah, Ketereh, Kota Bharu, Kelantan pada tengah malam Jumaat lalu.
Mangsa yang juga penuntut diploma semester ketiga sebuah kolej di Kota Bharu itu dipercayai dibunuh di lokasi lain, sebelum mayatnya ditinggalkan di kawasan itu.
Hasil bedah siasat mendapati punca kematian pelajar itu akibat kecederaan tikaman berganda di bahagian dada.


