TIMBALAN Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, dalam usia sudah mencecah 70 tahun beliau tidak ada apa lagi mahu dikejar termasuklah kedudukan atau kerjaya politik.
Sebaliknya beliau mahu menumpukan sumbangan kepada UMNO dan negara serta terus setia bersama parti walaupun ada pihak cuba melagakannya dengan Presiden Zahid Hamidi.
“Saya bercakap hari ini ketika menyambut usia 70 tahun. I got nothing to lose. Saya bukan lagi nak cakap pasal kerjaya, tetapi hendak bagi balik sumbangan kepada parti dan negara,” katanya ketika berucap pada Konvensyen UMNO Ke-80, di Kuala Lumpur hari ini.
Mohamad berkata pelbagai usaha dibuat untuk mencetuskan perpecahan dalam kepimpinan parti, namun beliau enggan melayan usaha itu.
“Ada orang nak lagakan saya dengan Datuk Seri (Zahid). Apa orang tak cakap pasal Datuk Seri, adu domba untuk lagakan. Tetapi saya butakan mata dan tenangkan jiwa untuk bersama dengan parti,” katanya yang menerima tepukan daripada pemimpin dan ahli UMNO,’’ katanya
Beliau berkata UMNO tidak boleh berpecah dan harus bersatu untuk menjadikan parti itu kembali dominan.
“Parti yang berpecah belah akan mudah diperlakukan dan dipergunakan oleh pihak berkepentingan dari dalam dan luar. Ia akan menjerumuskan kita ke dalam percaturan yang akhirnya sedikit demi sedikit meminggirkan dan mengecilkan peranan kita.Jangan ada anasir mahu mengadu domba dan melaga-lagakan kita antara satu sama lain,’’ katanya


