PENINGKATAN peruntukan bantuan tunai dan keperluan asas kepada RM15 bilion, pelaksanaan gaji minimum RM1,700 serta penurunan kadar kemiskinan mutlak, merupakan antara pencapaian Kerajaan MADANI, dalam usaha meningkatkan taraf hidup rakyat sepanjang hampir empat tahun pentadbirannya.
Menurut pakar, pelaksanaan pelbagai inisiatif itu mencerminkan peralihan kepada pendekatan pembangunan, yang bukan sahaja menekankan pertumbuhan ekonomi, tetapi turut memberikan perhatian kepada peningkatan pendapatan, perlindungan sosial dan pengagihan kekayaan negara yang lebih saksama.
Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik Universiti Malaya (UM) Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata antara pencapaian paling signifikan kerajaan, ialah keupayaannya memperkukuh kestabilan ekonomi negara sambil memastikan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan.
Beliau berkata peningkatan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada RM15 bilion pada 2026, serta pelaksanaan gaji minimum RM1,700 merupakan antara langkah penting bagi membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup.
“Kejayaan terbesar Kerajaan MADANI bukan sekadar membawa masuk pelaburan atau meningkatkan pertumbuhan ekonomi, tetapi memastikan hasil pembangunan negara diterjemahkan kepada peningkatan taraf hidup rakyat. Inilah ukuran sebenar kejayaan sesebuah kerajaan,” katanya kepada Bernama sempena empat tahun Kerajaan MADANI.
Tawfik berkata pendekatan itu turut memperlihatkan perubahan daripada pembangunan yang terlalu berorientasikan pertumbuhan ekonomi, kepada pembangunan yang lebih menekankan kesejahteraan rakyat, keadilan sosial dan pengagihan kekayaan negara.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seremban Dr Mazlan Che Soh berkata usaha memperkukuh jaringan perlindungan sosial melalui bantuan lebih meluas dan bersasar serta pembaharuan dasar pekerjaan, turut menjadi pencapaian ketara kerajaan.
Beliau merujuk kepada data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), yang menunjukkan kadar kemiskinan mutlak menurun daripada 6.2 peratus pada 2022 kepada 5.1 peratus pada 2024, sekali gus memberikan petunjuk positif terhadap peningkatan kesejahteraan rakyat, meskipun perkembangan itu turut dipengaruhi pemulihan ekonomi.
“Langkah berkenaan memperlihatkan komitmen Kerajaan MADANI, dalam memastikan kebajikan golongan berpendapatan rendah dan sederhana terus diberi perhatian, khususnya ketika rakyat berdepan peningkatan kos sara hidup,” katanya.
Mazlan turut menyifatkan pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) sebagai pembaharuan signifikan, khususnya dalam menyelaraskan struktur saraan penjawat awam dengan peningkatan kos sara hidup.
Beliau berkata pelarasan gaji sebanyak 15 peratus secara berfasa bagi Kumpulan Pelaksana serta Pengurusan dan Profesional bermula Disember 2024 dan disusuli fasa kedua pada Januari 2026, membantu meningkatkan kuasa beli, pengurusan perbelanjaan keluarga serta motivasi penjawat awam.
“Inisiatif ini turut mencerminkan pengiktirafan kerajaan terhadap sumbangan penjawat awam, namun peningkatan saraan perlu bergerak seiring dengan peningkatan produktiviti, integriti, kecekapan dan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Pakar Ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata keberkesanan jaringan keselamatan sosial, tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah bantuan kewangan semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira keupayaan penerima meningkatkan taraf hidup secara berterusan.
Beliau berkata bantuan kepada golongan rentan, termasuk ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas, perlu disokong kemudahan serta peluang ekonomi yang bersesuaian dengan keperluan masing-masing.
“Bagi ibu tunggal, misalnya, bantuan kewangan perlu disertai akses kepada penjagaan anak, latihan, pekerjaan fleksibel dan pembiayaan mikro.
“Bagi OKU, sokongan perlu meliputi akses pekerjaan, kemudahan fizikal dan teknologi bantuan, sementara bagi warga emas kita perlu membangunkan sistem penjagaan jangka panjang dan perlindungan persaraan yang lebih mampan,” katanya.
Pandangan itu memperlihatkan bahawa cabaran seterusnya bukan sekadar memperluas bantuan, tetapi memastikan dasar kebajikan mampu meningkatkan keupayaan ekonomi penerima dan mengurangkan kebergantungan terhadap bantuan dalam jangka panjang.





