Ahli Parlimen Pasiri Gudang daripada PKR, Hassan Karim mahu kerajaan segera mengiktiraf golongan penggubal lagu, pemuzik dan penyanyi sebagai pekerja gig.
Katanya, beliau berpendapat ahli-ahli seni berkenaan menepati taksiran sebagai pekerja-pekerja gig.
‘’Setakat ini, kita hanya kenal pekerja-pekerja e-hailing dan p-hailing sebagai pekerja gig. Maka, saya mencadangkan supaya kerajaan dan Kementerian Sumber Manusia segera mengiktiraf penggubal lagu, pemain muzik dan penyanyi juga sebagai pekerja gig,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan peruntukan Belanjawan 2027 bagi Kementerian Sumber Manusia peringkat jawatankuasa, di Dewan Rakyat, hari ini,lapor Malaysiakini.
Hassan berkata golongan seniman tidak dinaungi kesatuan pekerja bagi memperjuangkan kebajikan mereka.
“Kepentingan dan kebajikan mereka biasanya diperjuangkan oleh persatuan-persatuan yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) seperti Persatuan Karyawan Malaysia yang memperjuangkan hak royalti dan ahli-ahli seni tersebut.
“Ahli-ahli seni muzik ini berada dalam keadaan yang lemah, apabila berurusan dengan syarikat-syarikat rakaman yang besar, kaya dan syarikat-syarikat ini bersatu, manakala pemuzik, penyanyi dan penggubal lagu, ahli-ahli seni yang biasa yang lemah ini selalu dalam keadaan kerugian,” katanya.
Hasaan menampilkan contoh situasi dialami golongan itu di era 1980-an ketika rakaman muzik dibuat melalui penggunaan kaset.
Katanya, jika sebuah kaset berharga RM10, artis hanya dapat RM1 daripada harga jualannya sebaliknya syarikat rakaman, pemborong dan peruncit memperolehi RM3.
“Satu lagi contoh, antara tahun 2002 hingga 2017, kutipan syarikat rakaman sebanyak RM697 juta, manakala bayaran kepada badan artis seluruh negara hanya RM20 juta sahaja.
“Jadi, saya percaya Dewan Rakyat ini mesti menyuarakan kepentingan golongan yang lemah termasuk golongan artis ini yang memperkayakan budaya kita yang mempunyai peranan mereka sendiri,” tegasnya.
Hassan turut membangkitkan isu royalti yang tidak adil dan berpatutan diberikan kepada penyanyi susulan terdapat tiga badan yang terpisah dan berasingan yang memungut bayaran royalti daripada pihak-pihak yang menyiarkan hasil seni.
Katanya, pihak tersebut ialah Music Authors Copyright Protection (MACP), Public Performance Malaysia (PPM) dan Recording Performers Malaysia (RPM) dan masing-masing satu persatuan di Sabah dan Sarawak.
“Saya mencadangkan supaya Kementerian Sumber Manusia ini bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri mencari kaedah yang terbaik untuk membantu golongan-golongan artis ini yang ketika ini saya percaya mereka ditindas,” kata wakil rakyat PKR itu.





