BEKALAN elektrik terputus di beberapa wilayah di Sumatera pada malam ini, melibatkan Aceh, Sumatera Utara, Sumatera Barat hingga Riau.
Pengurus Besar Perusahan Listrik Negara (PLN) Unit Induk Distribusi Sumatera Barat, Arjun Karim berkata, gangguan itu berpunca daripada sistem Sumatera Bahagian Utara (SBU) dan Sumatera Bahagian Tengah (SBT) terputus.
“Mohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku,” katanya dalam satu kenyataan ringkas.
Menurut beliau, gangguan mula berlaku sekitar jam 6.44 petang waktu Indonesia Barat (WIB- 7.44 malam waktu Malaysia) apabila sistem SBU dan SBT terpisah, sekali gus menyebabkan sistem Sumatera Bahagian Utara mengalami gangguan bekalan elektrik secara menyeluruh.
“Gangguan berlaku di laluan penghantaran Rumai–Muaro Bungo,” katanya.
Arjun menjelaskan bahawa masalah itu berpunca daripada gangguan di bahagian pencawang induk penjanaan dan penghantaran elektrik.
Ketika ini, pasukan PLN sedang menjalankan proses pemulihan sistem secara berperingkat di kawasan yang terjejas.
“Buat masa ini bekalan elektrik terputus akibat masalah di bahagian pencawang induk penjanaan dan penghantaran. Pasukan PLN sedang berusaha melaksanakan proses pemulihan,” katanya lagi.


