HELAH seorang peniaga wanita menawarkan penjualan beg tangan jenama mewah yang didakwa tidak wujud akhirnya membawa padah apabila dia dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini.
Tertuduh, Christina Tseu Cheau Wei, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret A Shaarmini.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa memperdayakan seorang wanita berusia 53 tahun supaya membuat bayaran RM41,288 ke dalam akaun bank miliknya kononnya bagi pembelian sebuah beg tangan jenama terkemuka yang dipercayai tidak wujud.
Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 11.31 pagi di sebuah kondominium di Jalan Sri Laguna 1, Taman Laguna pada 26 Ogos 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Fatihah Mohd Nizam menawarkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, peguam bela Jason Tan Ka Yan memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya mempunyai dua anak berusia 12 dan 17 tahun selain menjaga ibunya yang menghidap kanser darah.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin tempatan dan menetapkan 9 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Terdahulu, mangsa membuat laporan polis pada 2 Mei lalu selepas mendakwa tidak menerima beg tangan mewah berkenaan walaupun bayaran sudah dibuat sepenuhnya.


