Empat lelaki didakwa jadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Kapten Praba’

EMPAT lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Kapten Praba’ sejak 2023 hingga tahun lalu.

Kesemua mereka iaitu C Navindren, 38; S Sridharan, 30; S Pratifkumar, 30 dan K Devaindran, 44, membuat pengakuan itu dan mohon dibicarakan.

Pertuduhan dibacakan secara berasingan dalam bahasa Tamil oleh jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet.

Mengikut pertuduhan, keempat-empat mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Kapten Praba’.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah ladang kelapa sawit di Jalan Mahang 2, Kampung Sungai Jarom, Jenjarom, Kuala Langat pada Disember 2023 hingga 11 September lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam, Chow Siang Kong dan Mohamad Fakhrurrazi Ahmad Salim manakala keempat-empat tertuduh diwakili oleh peguam, Sean Duddley Samuel Jayarajan.

Dalam prosiding itu, Mohamad Mustaffa turut memohon keempat-empat tertuduh itu dibicarakan bersekali bersama 13 tertuduh lain yang didakwa menjadi ahli ‘Geng Kapten Praba’.

“Ia memandangkan kes ini membabitkan pertuduhan yang sama di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan dan kesalahan asasnya ialah menjadi ahli satu kumpulan jenayah terancang,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan polis menumpaskan kumpulan jenayah terancang yang aktif melakukan kekerasan, pembunuhan dan samun dengan penahanan 17 orang menerusi Op Jack Sparrow.

Kumpulan didalangi seorang lelaki warga tempatan itu turut dikesan merekrut remaja bagi memasuki kumpulan terbabit demi mengejar pengaruh kuasa dan keuntungan dengan 80 kes jenayah dilakukan mereka setakat ini.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilaporkan berkata, kumpulan itu ditumpaskan menerusi beberapa siri serbuan dan tangkapan di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Perak 11 September lalu.

Katanya, 17 suspek berusia antara 19 hingga 44 tahun ditahan selepas dipercayai menjadi sebahagian daripada kira-kira 30 ahli kumpulan diketuai seorang lelaki tempatan yang aktif sejak 2023.

Menurutnya, tangkapan berkenaan membabitkan dua kumpulan berbeza yang dipercayai mempunyai kaitan langsung dengan kegiatan jenayah itu.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img