Empat lelaki maut, Viva dinaiki rempuh belakang lori

EMPAT lelaki maut selepas kereta Perodua Viva dinaiki mereka merempuh empat kenderaan termasuk sebuah lori yang diparkir di Jalan Sepanggar berhampiran Taman Jaya Diri, Sepanggar di Kota Kinabalu awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.10 pagi itu, tiga daripada mangsa yang maut ialah Ryanniel Robin, 23; Nicholas Thomas, 24; dan Axelord Nigel Alexander, 21, manakala identiti seorang lagi masih belum dikenal pasti.

Kereta dinaiki empat mangsa itu dipercayai terbabas sebelum merempuh belakang lori dan tiga lagi kenderaan yang diparkir berhampiran lokasi kejadian.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Hannis Moktar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.37 pagi.

Beliau berkata, pasukan bomba yang tiba di lokasi mendapati kesemua mangsa tersepit di dalam kereta berkenaan.

“Pasukan bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan keempat-empat mangsa yang tersepit. Semua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, lapor Buletin TV3.

Mohd Hannis berkata, kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayat mereka dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, operasi tamat pada jam 3.55 pagi selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.

Pegawai dan anggota polis trafik turut berada di lokasi bagi menjalankan siasatan lanjut berhubung punca kemalangan.

Operasi berkenaan turut dibantu anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Kinabalu.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here