LANGKAH penstrukturan yang dilaksanakan Kementerian Pertahanan (MINDEF) bagi memastikan tiada isu ketirisan atau kebocoran dana berlaku membolehkan dana perolehan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak lagi dibekukan.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, berikutan itu segala urusan perolehan aset ketenteraan kini kembali berjalan seperti biasa mengikut perancangan.
“Tidak ada lagi pembekuan, kerana kita telah lakukan penstrukturan-penstrukuran yang boleh memastikan tiada ketirisan, kebocoran dan sebagainya,” katanya selepas merasmikan Program Ekonomi MADANI ATM di Kem Batu 3, di Kluang hari ini.
Pada 16 Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengarahkan semua keputusan perolehan ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terkait dengan isu rasuah, dibekukan sementara sehingga proses perolehan dipatuhi sepenuhnya.
Pembekuan terbabit susulan kontroversi yang melanda ATM berkaitan isu rasuah serta salah guna kuasa, membabitkan beberapa bekas pimpinan tertinggi ATM.
Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai sama ada MINDEF melaksanakan penilaian terhadap sebarang perolehan susulan krisis bekalan global, Mohamed Khaled berkata, perkara itu antara aspek yang diambil perhatian kementeriannya.
Kata beliau, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) juga meminta MINDEF memberikan cadangan berhubung bagaimana aspek pertahanan di negara ini dapat disesuaikan dengan krisis bekalan global dan konflik di Asia Barat.


