POLIS menahan empat remaja lelaki berusia antara 14 hingga 15 tahun dipercayai terbabit dalam kes kecurian dua motosikal milik jemaah di Masjid Kariah Kampung Rendah, di Rembau, ketika solat Jumaat, semalam.
Ketua Polis Daerah Rembau, Superintendan Ngiam Ooi Ming berkata, kedua-dua motosikal yang dilaporkan hilang itu turut berjaya dirampas semula dalam tempoh kurang 24 jam.
“Semalam, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau menerima dua laporan berhubung kehilangan dua motosikal yang diletakkan di tempat letak motosikal di kawasan sebuah masjid di Rembau.
“Susulan laporan itu, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Rembau membuka dua kertas siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika jemaah sedang menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan.
Katanya, kehilangan motosikal hanya disedari mangsa pada jam 2.15 petang ketika mahu pulang selepas mendapati kenderaan mereka sudah tiada di kawasan parkir masjid.
“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tersebar, dua suspek dilihat seperti tergesa-gesa membawa keluar motosikal berkenaan dari kawasan masjid,” katanya.





