Erti pengorbanan Aidiladha dalam konteks hari ini

Oleh Nordin Abd Malek

Allahu-Akbar,

Allahu-Akbar,

Walillahilham.

SEMALAM  kita telah menyambut Hari Raya Aidiladha sebagai lambang pengorbanan dalam Islam  melalui kisah Nabi Ibrahim AS yang mendapat wahyu Allah untuk menyembelih anaknya Ismail.

Aidiladha juga adalah sebahagian peristiwa penting dalam musim haji yang menjadi Rukun Islam kelima.

Saban tahun kita mendengar khutbah solat sunat AidilAdha yang akan mengupas sejarah AidilAdha dan pengisiannya dalam konteks hari ini.

Merealisasikan pengorbanan itu bukanlah mudah. Tidak semudah melafazkannya kerana pengorbanan memerlukan keikhlasan, kesabaran dan kesungguhan. Niat utama pula mestilah mengorbankan apa sahaja demi Allah SWT.

Dalam konteks kemanusiaan, pengorbanan kita adalah untuk diri, keluarga, masyarakat dan negara. Dengan pengorbananlah, kita akan membawa rahmat kepada sekelian alam.

Maka pada penghujung pengorbanan kita, pasti akan ada kejayaan yang dilimpahi rahmat Allah.

Pengorbanan wajib dilakukan dalam diri kita terlebih dahulu. Bermula dengan mengawal diri untuk mematuhi ketaatan kepada Allah sebagai makhluk dengan melupakan segala larangan Allah sebaik mungkin. Diri kita mesti sanggup menghadapi apa juga ujian setelah kita memilih sesuatu pengorbanan kepada Allah untuk diri kita.

Pengorbanan kepada keluarga pula ialah memberikan hak-hak mereka sebaik mungkin seperti keperluan rumahtangga dan pendidikan yang baik untuk mereka. Selain makan pakai, suasana rumah yang selesa, pendidikan adalah aset penting kepada anak-anak yang memerlukan banyak pengorbanannya daripada kita sebagai ibu-bapa.

Hari ini, kos pendidikan sangat tinggi. Maka di sinilah ibu bapa mesti sanggup berkorban untuk melupakan segala kemewahan lain bagi memastikan anak-anak diberikan segala tanggungan yang perlu tanpa terlalu bergantung kepada kerajaan atau orang lain.

Biarlah kita terpaksa bergadai bergolok untuk memastikan anak-anak mendapat pendidikan terbaik, waima sampai ke luar negara sekalipun. Orang bukan Islam di Malaysia sudah lama mengamalkan pengorbanan ini kerana tidak mengharapkan bantuan kerajaan atau orang lain untuk berdikari. Anak-anak dihantar sampai ke luar negara tanpa satu sen pun duit kerajaan.

Generasi kedua selepas merdeka khususnya orang Melayu sepatutnya sudah mempunyai kemampuan dan sanggup berkorban ke tahap itu pada masa ini. Namun, sikap dan kemampuan yang masih belum berubah menyebabkan majoriti umat Islam di Malaysia tidak meneruskan pendidikan lepas SPM atas faktor kemampuan ekonomi.

Pengorbanan untuk masyarakat pula ialah suatu usaha yang memerlukan kita membangunkan masyarakat tanpa memikirkan jawatan politik atau kuasa sebagai penjawat awam. Membangunkan ekonomi dan sosial masyarakat boleh dilakukan dengan apa juga kekuatan yang kita ada.

Namun kita mesti sanggup untuk berkorban harta dan jiwa raga secara istiqomah untuk merealisasikan impian tersebut. Pada akhirnya, kita hanya mahu melihat masyarakat dapat dimajukan dan menikmati usaha dan pengorbanan yang kita lakukan.

Begitu juga pengorbanan kita kepada negara. Keikhlasan dan kejujuran memikul amanah adalah teras kejayaan sesebuah negara, khususnya kepada mereka yang bergelar pemimpin. Namun, apakah hari ini pengorbanan sebenar itu dapat diterjemahkan apabila kita memegang tampuk kuasa?

Kerosakan sesebuah negara pada hari ini adalah kegagalan pucuk pimpinan untuk berkorban dalam erti kata yang sebenar. Godaan kuasa dan keduniaan menjadikan kita hilang nilai pengorbanan yang akhirnya membawa kemusnahan kepada diri kita, masyarakat dan negara.

Lebih teruk lagi, kita menyaksikan kemewahan dunia melingkari kehidupan mereka mengatasi kemiskinan dan kebajikan rakyat sehingga sanggup menipu dengan janji-janji yang dilafazkan sebelum mendapat undi. Bersumpah  atas nama Allah dan mengingkarinya pun sangat berani. Namun percayalah azab Allah pasti akan tiba.

Mengakhiri rencana saya ini ialah merenungi pengorbanan Nabi Muhammad SAW untuk penciptanya Allah SWT. Rasulullah SAW  yang beristerikan  jutawan seperti Khadijah mengorbankan harta dan jiwa raga untuk memberikan kerahmatan kepada umat dan sekalian alam.

Tarbiyah itu turut meresap kepada para sahabat yang menjadi khalifah selepasnya. Manusia bukan sahaja bangkit daripada zaman Jahiliyah tetapi Islam makmur ke seluruh pelosok dunia hasil pengorbanan, istiqomah dan keikhlasan berkorban.

Sanggupkah kita berkorban seperti itu? Penulis sudah melalui pelbagai pengorbanan di atas  tetapi tidak mahu menyenaraikannya supaya tidak hilang berkat perjuangan tersebut. Biarlah antara kita dan Allah.

Ramai yang mudah bercakap soal pengorbanan dalam agama. Pergi Mekah kadang-kadang hampir setiap tahun untuk haji dan umrah tetapi menterjemahkan pengorbanan itu belum tentu kerana Allah memilih hambanya yang terpilih sahaja.

Semoga kita menjadi sebahagian yang terpilih itu dan Allah akan merahmati semua pengorbanan kita selama ini. Wallahualam.

Allahu-Akbar,

Allahu-Akbar,

Walillahilham.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img