Fahmi nasihat orang ramai pastikan imej Jalur Gemilang tepat, hati-hati guna AI sempena Bulan Kebangsaan

KEMENTERIAN Komunikasi menasihatkan orang ramai agar memastikan penggunaan imej Jalur Gemilang yang dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI) supaya tepat dan tidak berlaku kesilapan sepanjang sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, mana-mana pihak yang melakukan kesalahan kandungan atau tersalah mengibarkan bendera kebangsaan itu akan dikenakan tindakan.

GAMBAR: Facebook Jabatan Penerangan Malaysia

“Kita galakkan bagi program Kibar Jalur Gemilang ini rakyat mengambil sedikit masa untuk mendapat maklumat tentang tata cara mengibarkan Jalur Gemilang yang betul dan juga sentiasa berhati-hati menjana kandungan menggunakan kecerdasan buatan ataupun AI supaya tidak ada kesilapan ataupun kekurangan 14 jalur pada Jalur Gemilang.

“Kita juga akan berbincang dengan syarikat media supaya pastikan sepanjang bulan kebangsaan ini apa-apa representasi Jalur Gemilang terutama yang dihasilkan melalui AI dihasilkan dengan betul.” katanya dalam sidang media selepas majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah (ILKKM SAS), di Tanjung Rambutan, Ipoh hari ini.

Menurut Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan, mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan sedemikian akan diberi nasihat terlebih dahulu sebelum dikenakan tindakan mengikut undang-undang.

“Ada aktanya tersendiri tapi kita akan ambil langkah pertama iaitu menasihatkan dan kita akan cuba berhubung dengan mana-mana pihak yang didapati tersalah menghasilkan kandungan ataupun tersalah mengibarkan jalur gemilang untuk memperbetulkan kesilapan.

“Sekiranya tidak dibetulkan atas apa-apa sebab kita akan teliti apa tindakan susulan yang wajar diambil.” katanya.

Terdahulu, majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img