MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan pendakwah bebas, Firdaus Wong Hai Hung menang saman fitnah ke atas Atomy Malaysia Sdn Bhd (Atomy Malaysia) yang dikawal sepenuhnya oleh Atomy Co Ltd dari Korea Selatan, di mana Atomy Co. Ltd didakwa melakukan aktiviti kristianisasi.
Hakim Arziah Mohamed Apandi yang menetapkan keputusan itu turut memerintahkan Atomy Malaysia, syarikat perniagaan yang dimiliki 100 peratus oleh Atomy Co Ltd dari Korea Selatan itu membayar kos sebanyak RM70,000 kepada Firdaus Wong selaku defendan.
Beliau berkata, mahkamah juga membuat dapatan bahawa terdapat keterangan kukuh bahawa aktiviti kristianisasi dijalankan oleh Atomy Co Ltd yang berpusat di Korea di mana syarikat Atomy Co Ltd ini mengawal secara mutlak Atomy Malaysia.
Sementara itu, peguam bela yang mewakili Firdaus Wong, Syahidah Hanum Mohd Ghazali dari firma Tetuan Syahidah Sharul & Marsyara memberitahu, enam hantaran yang dibuat anak guamnya dalam media sosial dan didakwa adalah fitnah oleh plaintif telah ditolak oleh mahkamah.
Sehubungan itu, kata Syahidah Hanum, apa yang diperkatakan oleh anak guamnya berhubung aktiviti Atomy Co Ltd yang mengawal Atomy Malaysia selama ini adalah benar.
Firdaus Wong ketika dihubungi utusanmelayuplus hari ini menyifatkan keputusan mahkamah itu sebagai satu kemenangan kepada seluruh umat Islam di negara ini.
“Saya bersyukur dengan keputusan mahkamah hari ini dan membuktikan perjuangan yang dimulakan sejak 2021 hampir empat tahun lalu adalah benar demi menegakkan keadilanIslam,” katanya.
Beliau sebelum itu dalam hantarannya di media sosial hari ini melahirkan rasa syukur atas kemenangan itu.
“Alhamdulilah. Allahuakbar. Kita menang saman fitnah terhadap Atomy Malaysia! Alhamdulilah. Jazakumullahu Khairan di atas doa kalian. Injunksi untuk saya bercakap/menulis tentang Atomy telah dibatalkan oleh mahkamah maka saya akan dedahkan lebih banyak perkara yang berlaku di dalam mahkamah berdasarkan keterangan saksi-saksi,” katanya.
Pada tahun 2021, Firdaus Wong yang merupakan pengasas sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dikenali sebagai Multiracial Reverted Muslims (MRM) telah mendedahkan bahawa Atomy Malaysia merupakan sebuah pertubuhan perniagaan yang dikawal sepenuhnya oleh Atomy Co Ltd, Di mana Atomy Co. Ltd secara terang-terangan menyokong usaha-usaha kristianisasi.
Pendedahan bahawa Atomy Malaysia dikawal sepenuhnya olehAtomy Co. Ltd dibuat melalui bukti yang diperoleh daripada pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) manakala bukti bahawa Atomy Co. Ltd secara terang-terangan menyokong usaha-usaha kristianisasi dapat dilihat melalui anugerah yang dimenangi oleh syarikat Atomy Co. Ltd tersebut. Malah, melalui laman web Atomy Co Ltd, Atomy Co Ltd terang-terangan mengakuinya.
Atomy Co Ltd adalah syarikat yang diasaskan oleh Han Gill Park dari Korea Selatan pada tahun 2009. Syarikat yang berpangkalan di Gongju Korea Selatan ini telah mengeluarkanlebih 400 produk dalam pelbagai kategori termasuk makanan tambahan nutrisi, kecantikan, fesyen dan hiasan rumah.
Dengan menggunakan sistem Multi Level Marketing (MLM), syarikat Atomy Co. Ltd telah meluaskan pengaruhnya di beberapa buah negara termasuk Malaysia.
Ramai yang terlibat dengan Atomy Malaysia termasuk figura-figura dakwah dan pakar motivasi terkenal.


