PASUKAN Israel dilaporkan terus menyerbu dan merampas kawalan kapal-kapal yang menyertai Global Sumud Flotilla, salah satu misi bantuan maritim pro-Gaza terbesar dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Penganjur Flotila itu mendakwa tentera Israel telah “menculik” aktivis di atas kapal serta melumpuhkan beberapa bot secara sistematik sebelum berundur, sekali gus “dengan sengaja meninggalkan ratusan orang awam tanpa kuasa” untuk “menghadapi perangkap maut yang dirancang di laut.”
Pada kira-kira jam 2 pagi (wkatu Malaysia) malam tadi, media Israel melaporkan bahawa pasukan tentera laut telah merampas kawalan beberapa kapal flotila. Laporan awal menyatakan tujuh kapal daripada keseluruhan 58 telah diambil alih., lapor Quds News Network.
Para peserta menyatakan bahawa misi tersebut merupakan usaha kemanusiaan berskala besar yang bertujuan menghantar bantuan serta mencabar sekatan berterusan Israel ke atas Gaza.
Penganjur flotila berkata bot laju tentera Israel telah mengepung kapal-kapal mereka dan mengenal pasti diri sebagai pasukan Israel. Mereka menambah bahawa anggota tentera mengacukan laser dan senjata separa automatik ke arah individu di atas kapal serta mengarahkan mereka bergerak ke bahagian hadapan kapal dan berlutut.
Aktivis turut melaporkan sistem komunikasi telah diganggu semasa operasi tersebut, menyebabkan kru mengeluarkan isyarat kecemasan (SOS) apabila keadaan semakin tegang.
Pagi ini, flotila mengesahkan bahawa 15 kapal telah dirampas. Kemudian, mereka menyatakan bahawa tentera laut Israel telah memintas, menaiki, dan melumpuhkan beberapa kapal Global Sumud Flotilla secara sistematik.
Selepas memusnahkan enjin dan merosakkan sistem navigasi, tentera Israel didakwa berundur, “dengan sengaja meninggalkan ratusan orang awam di atas kapal yang rosak dan tidak berkuasa, tepat di laluan ribut besar yang sedang menghampiri.”
Selain itu, komunikasi dengan beberapa kapal turut dilaporkan telah diganggu, sekali gus memutuskan keupayaan mereka untuk berkoordinasi atau menghantar isyarat bantuan. Pihak flotila menyatakan para peserta kini “berdepan perangkap maut yang dirancang di laut.”


