RUNDINGAN Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU) mencatat kemajuan apabila kira-kira 80 peratus daripada keseluruhan rundingan berjaya diselesaikan, manakala baki 20 peratus lagi masih memerlukan penelitian serta persetujuan kedua-dua pihak.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kerajaan yakin perkara yang masih belum dimuktamadkan dapat diselesaikan bagi membolehkan perjanjian itu ditandatangani menjelang akhir Jun 2027.
Menurut beliau, antara perkara yang masih dibincangkan ialah isu berkaitan minyak sawit dan sektor automotif, yang memerlukan penyelarasan sebelum persetujuan akhir dapat dicapai.
“Secara asasnya, saya boleh katakan hampir 80 peratus sudah selesai dan dipersetujui kedua-dua pihak. Hanya tinggal 20 peratus lagi yang membabitkan beberapa perkara berkaitan EU dan Malaysia.
“Saya fikir perkara itu boleh diselaraskan, tetapi rundingan masih berjalan. Saya percaya kita mampu menyelesaikannya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan ucaptama sempena Hari Perniagaan EU-Malaysia 2026 di ibu negara hari ini, lapor BH.
Johari berkata, Malaysia dan EU setakat ini telah melalui lima pusingan rundingan, dengan kerajaan menetapkan sasaran supaya perjanjian perdagangan berkenaan dapat dimeterai selewat-lewatnya pada akhir Jun tahun depan.
Sekiranya berjaya dimuktamadkan, FTA itu akan menjadi perjanjian perdagangan bebas ke-18 bagi Malaysia, sekali gus berpotensi memperluas peluang eksport serta membuka ruang lebih besar kepada sektor perniagaan kedua-dua pihak untuk menembusi pasaran masing-masing.
Beliau menjelaskan bahawa matlamat utama perjanjian itu adalah untuk memudahkan akses pasaran melalui hubungan perdagangan yang lebih terbuka antara Malaysia dan negara anggota EU.
“Apabila kita menandatangani FTA, matlamatnya adalah untuk menyediakan akses pasaran yang lebih bebas antara Malaysia dan EU.
“Ekonomi hari ini beroperasi secara berbeza berbanding dahulu. Semakin banyak pasaran terbuka yang boleh kita akses, semakin baik untuk negara,” katanya.
Mengulas mengenai sektor minyak sawit, Johari berkata, Malaysia bersedia memenuhi keperluan Peraturan Penyahhutanan Kesatuan Eropah (EUDR), yang menjadi antara aspek penting dalam rundingan perdagangan berkenaan.
Katanya, beberapa syarikat perladangan utama negara telah mengambil langkah untuk memenuhi keperluan tersebut, termasuk berkaitan kebolehkesanan rantaian bekalan, usaha menangani isu penyahhutanan dan amalan buruh.
Beliau berkata, proses mencapai persetujuan akhir juga perlu mengambil kira kepentingan EU sebagai blok yang terdiri daripada 27 negara anggota, sekali gus memerlukan penelitian terhadap pelbagai keperluan kedua-dua pihak.
Sementara itu, Pesuruhjaya EU bagi Perkongsian Antarabangsa, Jozef Síkela menyifatkan penyambungan semula rundingan FTA dengan Malaysia sebagai perkembangan penting dalam usaha memperkukuh hubungan ekonomi dan perdagangan antara kedua-dua pihak.
Menurut beliau, perjanjian yang sedang dirunding itu berpotensi merangsang peluang baharu dalam bidang perdagangan dan pelaburan, selain mempererat hubungan ekonomi Malaysia dengan EU.
“FTA yang sedang dirunding ini akan membuka dimensi baharu peluang kepada kedua-dua pihak,” katanya.
Síkela turut menyatakan harapan agar rundingan berkenaan dapat diselesaikan selewat-lewatnya pada akhir 2027.
Dalam perkembangan berkaitan, Duta EU ke Malaysia, Rafael Daerr berkata, hubungan perdagangan antara Malaysia dan blok itu terus menunjukkan pertumbuhan positif berdasarkan prestasi perdagangan bagi separuh pertama 2026.
Menurut beliau, eksport Malaysia ke EU meningkat sebanyak 28 peratus dalam tempoh berkenaan, manakala import dari EU ke Malaysia turut mencatat kenaikan 12 peratus.
Perkembangan itu, katanya, mencerminkan kepentingan hubungan perdagangan dua hala ketika Malaysia dan EU terus berusaha memperluas kerjasama ekonomi masing-masing dalam menghadapi persekitaran global yang semakin mencabar.





