SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersedia bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam siasatan membabitkan MyEG Sdn Bhd (MyEG) dan Zetrix AI Berhad, susulan aduan rasmi yang diterima berhubung perkara itu.
SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, aduan berkenaan diterima pada 7 Oktober lalu, selain mengesahkan pihaknya mengambil maklum bahawa kes itu kini dalam siasatan PDRM.
Menurut SPRM, kerjasama antara kedua-dua agensi akan melibatkan penelitian dan perkongsian maklumat bagi membantu siasatan berdasarkan kesalahan yang berada di bawah bidang kuasa polis.
“Sekiranya terdapat maklumat yang menunjukkan kemungkinan berlakunya unsur rasuah, PDRM akan menyalurkannya kepada SPRM untuk tindakan lanjut,” kata kenyataan itu.
Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan (MoT) melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengambil keputusan menggantung perkhidmatan MyEG dan Zetrix AI Berhad sebagai ejen pemungut hasil jabatan berkenaan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dilaporkan berkata, tindakan itu dibuat berikutan kegagalan syarikat terbabit memindahkan kutipan hasil kerajaan mengikut tempoh yang telah ditetapkan.
Bagi tempoh 19 Mei hingga 30 September lalu, jumlah keseluruhan tuntutan terhadap syarikat berkenaan dilaporkan berjumlah RM314 juta.
Jumlah itu membabitkan kutipan hasil kerajaan yang masih belum dipindahkan ke Akaun Terimaan Utama Pejabat Perakaunan MoT.
Untuk rekod, MyEG telah dilantik sebagai ejen pemungut JPJ sejak tahun 2000, dengan tanggungjawab menyediakan pelbagai urusan berkaitan kenderaan dan pemandu melalui saluran elektronik.
Antara perkhidmatan yang ditawarkan termasuk pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM), urusan pertukaran hak milik kenderaan, Lesen Memandu Malaysia (LMM) serta pembayaran saman secara dalam talian.
Dalam perkembangan sama, SPRM menggesa pihak yang mempunyai maklumat tambahan berkaitan isu berkenaan supaya tampil memberikan kerjasama bagi membantu pihak berkuasa melengkapkan siasatan.
Orang ramai turut diingatkan supaya tidak membuat sebarang andaian atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan, bagi mengelakkan tindakan sedemikian menjejaskan kelancaran proses siasatan.
SPRM menegaskan bahawa setiap siasatan akan dilaksanakan secara bebas dan adil, dengan segala tindakan berpandukan undang-undang serta bidang kuasa yang ditetapkan.





