PKS tempatan perlu diperkasa dalam rantaian bekalan industri E&E

PENGLIBATAN perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan dalam rantaian bekalan industri elektrik dan elektronik (E&E) perlu dipertingkatkan bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap import komponen serta bahan mentah.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, langkah itu penting bagi memastikan lebih banyak nilai tambah daripada aktiviti pengeluaran berorientasikan eksport dapat dinikmati syarikat tempatan.

Beliau berkata, industri E&E merekodkan eksport bernilai RM712 bilion pada 2025, berbanding import kira-kira RM567 bilion, sekali gus mencatatkan lebihan dagangan sekitar RM145 bilion.

Menurutnya, kerajaan mahu melihat lebih banyak syarikat tempatan mengambil peluang untuk menghasilkan komponen dan produk yang ketika ini masih bergantung kepada bekalan dari luar negara.

“Kita tidak boleh lagi sewenang-wenangnya beri import ikut jalan senang. Jadi, kita nak tengok dan akan lihat mana-mana sektor yang memerlukan penekanan kerajaan untuk menghasilkan produk-produk ini supaya kita boleh kurangkan import,” katanya ketika menjawab soalan tambahan di Dewan Rakyat, hari ini.

Johari berkata, pengukuhan keupayaan pengeluaran domestik mampu membuka lebih banyak peluang kepada PKS untuk menyertai rantaian bekalan industri, sekali gus meningkatkan sumbangan mereka kepada ekonomi negara.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata pemain industri E&E juga perlu beralih daripada aktiviti pemasangan, pengujian dan pembungkusan konvensional kepada teknologi pembungkusan termaju (advanced packaging).

Katanya, langkah itu penting bagi membolehkan syarikat tempatan menguasai aktiviti bernilai tambah lebih tinggi dalam industri semikonduktor.

“Dalam sektor E&E ini pun, kita sekarang melihat bagaimana pemain yang terlibat dalam aktiviti hiliran bukan sahaja menjalankan pemasangan, pengujian dan pembungkusan biasa, tetapi kita mahu syarikat-syarikat kita turut terlibat dalam advanced packaging,” katanya.

Sebagai contoh, beliau berkata Malaysian Advanced Packaging Consortium yang melibatkan lima syarikat boleh memainkan peranan dalam menggalakkan penyertaan syarikat hiliran tempatan bagi memperluas penglibatan mereka dalam teknologi pembungkusan termaju.

Selain memperkukuh rantaian bekalan domestik, kerajaan turut memberi tumpuan kepada usaha mempelbagaikan destinasi eksport bagi mengurangkan kebergantungan kepada pasaran sedia ada.

Johari berkata, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan memberi penekanan kepada peluasan pasaran eksport ke destinasi yang kurang diterokai, termasuk Asia Tengah, Afrika dan Amerika Latin.

Sementara itu, bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026, eksport barangan E&E menyumbang 48.4 peratus atau RM656.14 bilion daripada jumlah eksport negara.

Produk semikonduktor pula merekodkan nilai eksport RM483.6 bilion, bersamaan 68.3 peratus daripada keseluruhan eksport E&E, berdasarkan angka yang dibentangkan dalam jawapan berkenaan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here