SEORANG gadis mendakwa dirogol jirannya selepas membenarkan lelaki itu masuk ke rumah untuk membantu membaiki telefon bimbit.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, polis menerima laporan daripada mangsa berusia 19 tahun itu yang mendakwa dirogol suspek dikenalinya di Projek Perumahan Rakyat (PPR), di Tawau Selasa lalu.
Menurutnya, suspek warga tempatan berusia 26 tahun yang bekerja sebagai tukang gunting rambut itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau pada jam 10 malam Khamis lalu di kediamannya.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku pada jam 10 malam selepas mangsa membenarkan suspek masuk ke kediamannya untuk membantu membaiki telefon bimbit miliknya.
“Suspek kemudian dipercayai membawa mangsa ke bilik sebelum melakukan perbuatan tidak senonoh itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Lelaki berkenaan ditahan reman selama tujuh hari sehingga 25 September ini selepas Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin membenarkan permohonan polis.
Permohonan reman itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.





