TINDAKAN seorang penunggang motosikal membunyikan hon dipercayai kerana laluannya dihalang membawa padah apabila dia ditetak dengan pisau pemotong daging oleh seorang penunggang lain dalam kejadian di laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan, Seksyen 13, Shah Alam, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa lelaki berusia 45 tahun mengalami kecederaan di kepala, belakang leher, lengan dan tangan selepas diserang suspek yang berang dengan tindakannya membunyikan hon.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS 999 pada jam 8.19 pagi berhubung kejadian berkenaan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa sedang menunggang motosikal menuju ke tempat kerjanya di Kuala Lumpur sebelum kejadian berlaku.
“Ketika melalui laluan motosikal di kawasan berkenaan, mangsa membunyikan hon kepada seorang penunggang motosikal lain kerana dipercayai menghalang laluannya.
“Bagaimanapun, tindakan itu menyebabkan suspek, seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun, tidak berpuas hati sebelum berhenti di tepi jalan dan bertindak menetak mangsa menggunakan pisau pemotong daging,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Shah Alam untuk mendapatkan rawatan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Katanya, suspek berjaya ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya.
“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohammad Amirul Zulkifli di talian 012-5583436 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Terdahulu, rakaman video kejadian itu tular di media sosial selepas dimuat naik oleh pengguna platform Threads.






