PERSEKUTUAN Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) hari ini mengumumkan dapatan Kajian Ketiga Mengenai Impak Konflik Asia Barat terhadap Pembuatan, Perdagangan dan Rantaian Bekalan Malaysia.
FMM dalam satu kenyataan berkata, kajian tersebut menerima maklum balas daripada 196 syarikat merangkumi pelbagai sektor industri antara 25 Mei hingga semalam dan merupakan penilaian bulanan ketiga berturut-turut sejak gangguan mula muncul pada Februari 2026.
‘’Tiga kajian tersebut menunjukkan perkembangan yang jelas. Kajian pertama merekodkan kejutan kos pengangkutan dan tenaga. Kajian kedua menunjukkan kesan yang merebak kepada bahan mentah, aliran tunai dan pelaburan,’’ kata kenyataan berkenaan.
Menurut FMM, kajian ketiga menunjukkan tekanan ini masih berterusan di samping perkembangan yang lebih serius.
‘’Pengilang kini kehilangan tempahan, menghentikan pengeluaran produk dan kehilangan pelanggan. Krisis yang berpanjangan ini telah melangkaui isu kos semata-mata dan kini menyebabkan kerosakan komersial yang berkekalan,’’katanya.
FMM berkata, walaupun pelbagai langkah mitigasi telah diambil, keadaan dalam sektor pembuatan masih berada di bawah tekanan yang ketara.
‘’Sebanyak 87% responden melaporkan bahawa keadaan sama ada semakin merosot atau kekal tidak berubah, dengan tekanan sedia ada menunjukkan sedikit tanda-tanda akan reda sejak awal Mei 2026. Selain itu, 65% tidak melihat sebarang penambahbaikan dalam mana-mana aspek operasi mereka,’’ kata FMM.
Menurut FMM, beban kos kekal tinggi, dengan 74% melaporkan kos pengeluaran masih berada antara 10% hingga 50% lebih tinggi berbanding sebelum konflik.
Kata FMM, kos pengangkutan dan logistik terus menjadi pemacu utama peningkatan kos, menjejaskan 86% responden, diikuti kekurangan bahan mentah (64%), peningkatan kos tenaga dan bahan api (60%), serta peningkatan penolakan pelanggan terhadap pelarasan harga yang mengehadkan kemampuan pengilang untuk memindahkan kenaikan kos kepada pengguna (56%).
‘’Dapatan paling serius ialah kos-kos ini tidak lagi diserap sebagai cabaran sementara. Ia kini telah menjadi kerugian komersial sebenar. Hanya 6% pengilang mampu memindahkan kos yang lebih tinggi sambil mengekalkan margin keuntungan mereka. Sebanyak 58% beroperasi pada atau di bawah paras pulang modal bagi barisan produk yang terjejas,’’ kata FMM.
FMM berkata, tiga kajian itu memperlihatkan gangguan yang semakin bersifat struktur.
Kata FMM, tanpa campur tangan yang bersasar, kesan kumulatif terhadap kos, daya saing, pelaburan dan pekerjaan akan terus meningkat.
Berdasarkan perkara tersebut, FMM menggesa kerajaan mempertimbangkan enam langkah berikut:
- Pelepasan duti dan cukai bagi bahan mentah daripada sumber alternatif
Ini merupakan keutamaan tertinggi bagi 57% responden. FMM menggesa pelaksanaan mekanisme bersasar berasaskan lesen yang terhad kepada kod tarif tertentu dan tempoh masa yang ditetapkan, atau skim rebat, bayaran balik atau drawback separa sekiranya pengecualian penuh tidak dapat dilaksanakan.
- Potongan cukai berganda bagi kos pengangkutan dan insurans berkaitan krisis
Diminta oleh 44% responden, langkah ini meliputi kos pengangkutan, surcaj perkapalan dan insurans berkaitan krisis, dan wajar diluluskan bagi Tahun Taksiran 2026.
- Bantuan kos bahan api industri
Sebanyak 44% responden menggunakan bahan api industri secara langsung dalam proses pengeluaran dan berada di luar Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS). FMM mencadangkan rebat khas bersifat sementara yang ditadbir melalui rangka kerja lesen pembuatan sedia ada.
- Pembiayaan khusus untuk pengilang bersaiz pertengahan
Kemudahan pembiayaan pelengkap oleh Kementerian Kewangan (MOF) dan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi pengilang bersaiz pertengahan dengan perolehan tahunan antara RM50 juta hingga RM500 juta yang tidak layak di bawah kriteria PKS, dengan had pembiayaan yang selaras dengan skala operasi mereka.
- Penangguhan baki kenaikan tarif pelabuhan
Dikenal pasti oleh 35% responden, FMM menggesa Kementerian Pengangkutan (MOT) menangguhkan semua baki kenaikan tarif yang dijadualkan bagi tempoh tertentu serta memaklumkan perkara tersebut dengan jelas kepada pengendali pelabuhan dan pihak industri.
- Program pemadanan pembekal tempatan yang difasilitasi kerajaan
Program berstruktur yang diterajui oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi memadankan keperluan industri dengan keupayaan tempatan, mengenal pasti jurang pelaburan dan mempercepatkan proses kelayakan pembekal tempatan.
FMM berkata, langkah-langkah yang membantu pengilang mengurus peningkatan kos, mendapatkan input kritikal, mengekalkan kecairan kewangan dan mempertahankan daya saing pasaran adalah penting untuk melindungi kapasiti industri dan keyakinan pelabur.






