SEBUAH kereta yang dinaiki dua individu terbabas ke dalam Sungai Langat selepas pemandunya dipercayai cuba mengelak haiwan melintas jalan dalam kejadian di Jalan Hulu Langat berhampiran Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Dusun Tua, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 12.24 tengah hari.
Menurutnya, siasatan mendapati kenderaan jenis Range Rover dipandu lelaki tempatan berusia 48 tahun bersama seorang penumpang tempatan berusia 45 tahun ketika dalam perjalanan dari Hulu Langat menghala ke Johor.
“Ketika melalui lokasi kejadian kira-kira jam 3.30 pagi, pemandu dipercayai cuba mengelak haiwan yang melintas jalan sebelum hilang kawalan dan menyebabkan kenderaan terbabas lalu terjatuh ke dalam Sungai Langat.
“Bagaimanapun, kedua-dua mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan keluar melalui pintu kiri dan bumbung suria (sunroof) tanpa mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kemalangan itu hanya menyebabkan kerosakan pada kenderaan dan tidak membabitkan kerosakan terhadap harta benda lain.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Khairul Ismail di talian 011-33210917.
Naazron turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa memandu secara berhemah, mematuhi peraturan jalan raya dan lebih berhati-hati terutama ketika melalui laluan gelap atau kawasan berisiko terdapat haiwan melintas.






