SEBUAH kereta Perodua Axia terbabas sebelum terjunam ke atas bumbung sebuah rumah di kaki bukit dekat Jalan Kampung Tanjung Bachang, Seri Menanti, Kuala Pilah, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, dua penumpang mengalami kecederaan ringan manakala pemandu serta seorang lagi penumpang terselamat.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kereta berkenaan dalam perjalanan dari Seri Menanti menghala ke Seremban.
“Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu kereta dipercayai hilang kawalan dan terbabas lalu merempuh bumbung sebuah rumah yang berada di bawah bukit.
“Penumpang hadapan dan belakang mengalami kecederaan ringan dan masih menerima rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah Kuala Pilah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pemandu lelaki berusia 63 tahun serta seorang lagi penumpang belakang tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurutnya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.
“Kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.


