Gara-gara pemandu langgar lampu merah, penunggang motosikal cedera

Seorang penunggang motosikal cedera selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah di Jalan Lagoon Selatan, Subang Jaya, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 10.30 pagi yang membabitkan sebuah Proton Saga dan motosikal jenis Yamaha Y16.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta dipandu seorang wanita warga Iran berusia 32 tahun dari arah Jalan Lagoon Selatan menghala ke Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) sebelum dipercayai melanggar lampu isyarat merah di persimpangan berkenaan.

“Perbuatan itu menyebabkan berlaku pelanggaran dengan sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun yang ketika itu sedang bergerak lurus selepas mendapat lampu isyarat hijau.

“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kaki dan pinggang sebelum dibawa ke Hospital Shah Alam untuk menerima rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan dan sudah tampil membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Fatin Husna Khairuzzaman dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Subang Jaya di talian 017-3012621,” ujarnya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img