JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima tiga laporan berhubung gegaran bangunan di Kajang, Subang Jaya dan Bandar Tasik Selatan berikutan kejadian gempa bumi di Sumatera, Indonesia, tengah hari tadi.
Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor Ashrul Riezal Asbar ketika dihubungi berkata panggilan pertama diterima pada 12.31 tengah hari membabitkan bangunan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), disusuli laporan kedua di Kolej INTI Subang Jaya, Jalan SS15 pada 12.40 tengah hari.
Beliau berkata pasukan BBP Kajang dan BBP Subang Jaya yang dikejarkan ke lokasi mengesahkan bangunan tersebut selamat diduduki selepas pemeriksaan menyeluruh mendapati tiada sebarang rekahan dikesan.

Sementara itu, JBPM Kuala Lumpur turut menerima panggilan kecemasan pada 12.32 tengah hari membabitkan gegaran di Menara B2 Maju Link, Jalan Lingkaran Tengah 2, Bandar Tasik Selatan sebelum menggerakkan pasukan dari BBP Sungai Besi ke lokasi.
Menurut kenyataan JBPM Kuala Lumpur sebaik pasukan bomba tiba di lokasi, hampir kesemua penghuni telah mengosongkan bangunan dan berkumpul di kawasan selamat sebagai langkah berjaga-jaga selepas merasai gegaran selama kira-kira 15 saat.
“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan menyeluruh terhadap struktur bangunan dan mendapati tiada sebarang rekahan atau kerosakan struktur dikesan. Bangunan tersebut dalam keadaan baik dan selamat untuk diduduki semula,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, platform media sosial khususnya aplikasi Threads “kecoh” apabila warga maya berkongsi detik cemas ketika merasai gegaran di beberapa kawasan sekitar Shah Alam, selain mendapatkan pengesahan daripada warga maya lain mengenai fenomena yang berlaku.
Seorang pemilik akaun Threads, “nabilaishah” yang berada di Seksyen 26, Shah Alam, memaklumkan mengenai gegaran tersebut menerusi hantaran ringkas sebelum keadaan kembali reda beberapa minit kemudian.
Pengalaman serupa dikongsi oleh “nadiaxzailan” yang pada mulanya tidak menyangka gegaran yang dirasainya berpunca daripada gempa bumi sebelum bertanya kepada rakan sekerja dan pengguna media sosial lain.
“Tengah asyik buat kerja, tiba-tiba meja terasa bergoyang dan saya pada mulanya menyangka ia hanya ilusi sendiri sebelum bertanya kepada rakan sekerja serta warga maya yang lain,” katanya.
Sementara itu, pengguna Threads, nurulsyazzana, yang berada di Seksyen 13, Shah Alam, turut berkongsi pengalamannya dengan bertanya kepada pengguna lain sama ada mereka merasai gegaran yang sama pada waktu berkenaan.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan gempa bumi sederhana bermagnitud 5.7 dikesan berlaku di Utara Sumatera pada 12.18 tengah hari tadi, dengan gegaran dirasai di beberapa kawasan di pantai barat Semenanjung.






