2 beranak maut, 2 masih hilang perahu dinaiki karam

SEORANG bapa dan anak lelaki ditemukan lemas manakala dua lagi masih hilang selepas perahu dinaiki mereka dipercayai karam ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Long San di Sungai Baram dekat Ulu Baram kelmarin.

Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, kesemua mangsa dari Kampung Long Selatong itu dilaporkan menaiki sebuah perahu pada 20 Julai lalu sebelum gagal pulang ke rumah serta tidak dapat dihubungi oleh ahli keluarga.

PASUKAN penyelamat menjalankan operasi SAR susulan insiden perahu karam di Sungai Baram yang mengorbankan dua beranak, manakala dua lagi masih hilang. GAMBAR: JBPM Sarawak

“Kehilangan mereka menimbulkan kebimbangan penduduk kampung sebelum Balai Polis Long Lama menerima laporan daripada orang awam pada jam 11.23 pagi semalam berhubung perkara itu.

“Hasil maklumat awal mendapati sebuah perahu dipercayai dinaiki mangsa terbabit, ditemukan dalam keadaan karam di Sungai Seperot semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Pusat Gerakan itu, pada hari yang sama iaitu semalam, mayat seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun ditemukan oleh penduduk kampung sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan.

Mangsa dikenali sebagai Jovian Jangin Joshua dan mayatnya kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Long San untuk tindakan lanjut.

Operasi SAR yang dikendalikan anggota dan pegawai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi hari ini bermula seawal jam 6 pagi dengan pasukan mengambil masa kira-kira lima jam melalui laluan jalan balak sebelum tiba di lokasi kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Ketika operasi dijalankan, penduduk kampung memaklumkan bahawa mereka menemukan satu lagi mayat di tepi sungai kira-kira jam 8.50 pagi iaitu sekitar dua jam perjalanan menggunakan bot dari lokasi perahu karam.

Pasukan bomba kemudian menggunakan bot milik penduduk kampung untuk menuju ke lokasi penemuan mayat sebelum membawa mayat itu keluar dengan menggunakan pengusung.

Pengecaman identiti dilakukan oleh ahli keluarga mengesahkan mangsa adalah Joshua Uken Mathew, 38, yang juga bapa kepada Jovian Jangin.

Dua lagi mangsa belum ditemukan setakat ini ialah Ceria Anak Dullah, 43, dan Jonathan Nyurang Lusut , 45.

Jurucakap itu berkata, operasi SAR sedang diteruskan dengan memberi tumpuan di kawasan sepanjang sungai dan lokasi dikenal pasti berdasarkan maklumat penduduk kampung.

Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan I (PBK I) Eric anak Unyi membabitkan tiga anggota dari BBP Marudi dengan sebuah pikap jenis Triton.

Menurutnya, keadaan bentuk muka bumi yang mencabar serta jarak perjalanan jauh menjadi antara cabaran utama pasukan SAR untuk memasuki kawasan operasi.

Pihak bomba memaklumkan operasi SAR akan diteruskan hingga kedua-dua mangsa yang masih hilang itu berjaya dijumpai atau sehingga arahan lanjut dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img