‘’TEMPAT berlindung mereka sangat tidak memuaskan, macam store (gerai) burger saja malah lebih cantik.’’
Itulah yang digambarkan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika bercerita mengenai tinjauan ke sempadan semalam pada perhimpunan bulan kementerian itu di Putrajaya hari ini.
Sehubungan itu kata beliau telah mengarahkan pondok keselamatan agensi penguat kuasa di sempadan dinaik taraf segera selepas mendapati keadaannya terlalu daif, malah disifatkannya lebih buruk daripada gerai burger.
Tegasnya, perkara itu perlu diberi perhatian segera kerana kemudahan asas untuk petugas di sempadan tidak sepatutnya diabaikan.
‘’Saya lihat keadaan itu ketika Padang Besar, Bukit Kayu Hitam, Durian Burung dan Pangkalan Hulu, semalam,
““Saya sudah minta Ketua Setiausaha KDN (Awang Alik Jeman) selesaikan perkara ini terlebih dahulu terutama di Pangkalan Hulu…biar nampak lebih sesuai. Kita naik taraf seperti di pos Wang Kelian. Kosnya pun tidak besar, jadi saya mahu ia disegerakan,’’ tegasnya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan kini berdepan cabaran besar untuk mempersiapkan rakyat menghadapi kemungkinan kesan konflik global terhadap bekalan tenaga, tanpa mencetuskan panik.
Katanya, kerajaan perlu mencari keseimbangan dalam menyampaikan mesej kepada rakyat supaya mereka memahami situasi sebenar, namun tidak terlalu cemas atau mengambil mudah.
Beliau berkata, kerajaan tidak mahu rakyat panik, tetapi pada masa sama tidak mahu wujud “sindrom penafian” seolah-olah perkembangan global tidak akan memberi kesan kepada negara.
“Cabaran utama kerajaan ialah bagaimana kita hendak mempersiapkan rakyat untuk menerima hakikat bahawa kesannya akan datang, tetapi dalam masa sama kita tidak mahu rakyat panik. Pada masa sama juga, kita tidak mahu rakyat terlalu leka,” katanya.


