SEORANG guru lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang murid perempuan berusia sembilan tahun, bulan lalu.
Tertuduh, Mohd Saufi Jama’in, 45, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ho Kwong Chin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga guru Bahasa Inggeris didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak berkenaan yang mana dia mempunyai hubungan amanah sebagai pendidik.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di ruang makan guru di kantin sebuah sekolah dekat sini pada jam 9 pagi pada 5 dan 7 Mei lalu.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.
Seksyen 14(a) memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, manakala Seksyen 16 memperuntukkan hukuman tambahan penjara maksimum lima tahun serta tidak kurang dua sebatan jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairuliqram Hairuddin menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan serta syarat tambahan melapor diri di balai polis sebulan sekali dan tidak mengganggu mangsa atau saksi pendakwaan.
Bagaimanapun, peguam Francis Pereira yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan kepada RM4,000 bagi setiap pertuduhan.
Menurutnya, Mohd Saufi yang sudah hampir 20 tahun berkhidmat sebagai guru menanggung empat orang anak selain menghidap penyakit darah tinggi.
“Tertuduh tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan tidak pernah dikenakan tindakan tatatertib sepanjang perkhidmatannya. Dia juga memberi kerjasama penuh kepada pihak polis dan tidak berisiko melarikan diri,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan serta mengekalkan syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 4 Ogos depan.






